PTPTN keluar zakat, 1MDB biaya haji, di mana bezanya, soal NGO

PTPTN keluar zakat, 1MDB biaya haji, di mana bezanya, soal NGO

PTPTN tidak sepatutnya 'memberi hadiah' pada saat ia mengalami kesempitan kewangan.

Keputusan PTPTN untuk membayar zakat dikritik oleh kumpulan masyarakat sivil.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan masyarakat sivil mempersoalkan sumbangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) kepada Lembaga Zakat Kedah baru-baru ini dan menggesa kerajaan menghentikan serta-merta amalan pemberian wang oleh badan itu untuk tujuan kebajikan.

ENGAGE berkata, PTPTN tidak sepatutnya “memberi hadiah” pada saat ia mengalami kesempitan kewangan disebabkan hutang tidak berbayar oleh peminjam yang berjumlah berbilion ringgit.

“Mana-mana agensi kerajaan tidak sepatutnya mengeluarkan cek cura untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR). Kerajaan itu sendiri adalah tanggungjawab sosial korporat,” kata ENGAGE dalam satu kenyataan semalam.

Pada Khamis, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, ia menyerahkan cek cura bernilai RM1 juta kepada Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadhil Awang.

Wan Saiful berkata, adalah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab tabung itu untuk membayar zakat, iaitu cukai kekayaan tahunan yang merupakan salah satu rukun Islam.

Langkah itu mengundang kritikan berkaitan salah guna kuasa oleh PTPTN, yang kini dibebani hutang hampir RM40 bilion.

ENGAGE berkata, badan kerajaan seperti PTPTN tidak mempunyai sebab untuk memberi hadiah atas nama CSR, dan menambah, perkara sama dilakukan oleh 1MDB yang dilanda skandal sebelum ini.

“Agensi kerajaan tidak perlu ada program CSR, dan jangan lupa, antara 2010 dan 2017 sewaktu 1MDB kerugian RM19 bilion, ia membelanjakan RM690 juta untuk CSR, dan ia turut membiayai ibadat haji.”

ENGAGE berkata, hujah yang berkata PTPTN hanya menunaikan tanggungjawab keagamaanya dengan membayar zakat menimbulkan persoalan tentang tingkah-laku badan lain yang dikuasai kerajaan.

“Apakah ini bermakna KWSP, LTHM, PNB dan Yayasan Angkatan Tentera juga mesti membayar zakat? Jika demikian, maka ia benar-benar mengaburkan sempadan antara kerajaan dengan agama dalam isu kewangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.