Harga petrol, diesel kekal sehingga mesyuarat Rabu ini, kata Guan Eng

Harga petrol, diesel kekal sehingga mesyuarat Rabu ini, kata Guan Eng

Menteri kewangan berkata, penetapan harga runcit petroleum terkini akan dibuat sebelum akhir minggu pertama 2019.

PETALING JAYA: Harga petrol dan diesel kekal buat beberapa hari sehingga Kabinet bermesyuarat Rabu ini untuk menetapkan harga baru, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, minyak RON95 kekal RM2.20 seliter, RON97 (RM2.50) dan diesel (RM2.18).

“Penetapan harga runcit produk petroleum terkini akan dibuat sebelum akhir minggu pertama 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata, kerajaan menetapkan harga runcit minyak secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati perubahan harga lebih cepat, selaras penurunan harga minyak mentah dunia.

“Bagaimanapun, dengan mengambil kira pandangan semua pihak terlibat, kerajaan juga perlu mengkaji permintaan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM) yang menentang penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan.

“PDAM juga telah meminta diteliti semula kadar margin pengusaha stesen minyak yang merupakan salah satu komponen di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM), yang pada masa ini digunakan untuk menetapkan harga runcit produk petroleum.”

Beliau berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menemui PDAM tidak lama lagi.

Katanya, kerajaan komited melaksanakan dasar penstabilan harga runcit minyak dan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat.

“Ini bermakna apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna memperolehi manfaat penurunan harga minyak dengan segera.”

Namun apabila harga minyak mentah dunia naik, katanya, demi melindungi pengguna daripada mengalami impak kenaikan harga, harga runcit minyak dan diesel akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 dan RM2.18 seliter melalui pemberian subsidi.

“Harga pada paras ini dikekalkan sehingga pelaksanaan subsidi petrol RON95 secara bersasar pada pertengahan 2019, sebelum harga runcit produk petroleum diapungkan mengikut harga pasaran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.