Mencari jawapan kepada rusuhan kuil melalui Dewan Rakyat

Mencari jawapan kepada rusuhan kuil melalui Dewan Rakyat

Siasatan yang telus dan komprehensif perlu dilakukan ke atas rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

Yayasan Perpaduan Malaysia (YPM) menyambut baik usaha Peguam Negara, Tommy Thomas dalam mengarahkan inkues ke atas kes Muhammad Adib Mohd Kassim untuk memastikan punca sebenar kematian anggota bomba tersebut apabila beberapa “petunjuk” dijumpai setelah bedah siasat dijalankan.

Perkara ini diumumkan sendiri oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kematian Adib yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh sememangnya memerlukan inkues memandangkan belum ada pihak yang didapati bertanggungjawab ke atas kematiannya.

Sebagaimana inkues penting dalam kes kematian Adib, siasatan yang telus dan komprehensif juga perlu dilakukan atas rusuhan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 26 November 2018.

Siasatan bebas perlu dilaksanakan demi mengenal pasti punca tercetusnya rusuhan tersebut, individu-individu yang terlibat, motif rusuhan, kesan daripada insiden tersebut yang mengorbankan nyawa dan kerosakan harta benda, peranan pihak media, dan respons jabatan polis serta bomba.

Apa yang mendukacitakan orang awam, sehingga kini masih tidak mengetahui apakah yang sebenarnya terjadi pada awal pagi 26 November tersebut, walaupun peristiwa itu berlaku lebih sebulan yang lalu.

Khabar angin mula tersebar dalam kalangan rakyat
Malaysia dengan ketiadaan maklumat lengkap daripada pihak berkuasa.

Perkara ini sedikit sebanyak menjadi asbab kewujudan tanggapan negatif terhadap hubungan etnik dalam kalangan rakyat.

Beberapa kumpulan Melayu-Islam dan India-Hindu mencadangkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat rusuhan 26 November tersebut.

Penubuhan suruhanjaya siasatan itu dan proses siasatannya mungkin akan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan. Bagaimanapun, masih ada jalan lain yang boleh diikhtiarkan.

Dewan Rakyat harus dibenarkan untuk menjalankan siasatan ke atas rusuhan tersebut.

Resolusi Dewan di bawah Peraturan Mesyuarat 88A diperlukan untuk membolehkan Dewan Rakyat mewujudkan sebuah jawatankuasa di bawah Yang di Pertua Dewan Rakyat sebagai pengerusi yang terdiri daripada Ahli Parlimen yang dipilih oleh Dewan sendiri.

Walaupun persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan pada waktu ini, mereka boleh dipanggil semula untuk berkumpul atas tujuan khusus tersebut.

Jawatankuasa tersebut akan memiliki kuasa penyiasatan yang luas dan Dewan akan dimaklumkan terus setelah keputusannya dicapai.

Walaupun laporan Jawatankuasa Parlimen ini tidak setanding dengan penghakiman, namun keputusannya mampu membawa nilai moral yang signifikan.

Syor jawatankuasa ini mampu menjadi asas untuk tindakan undang-undang dan kehakiman yang seterusnya.

Peranan yang baru untuk Parlimen Malaysia yang dicadangkan ini boleh dianggap sebagai sesuatu yang penting.

Dewan Rakyat khususnya, merupakan badan perundangan tertinggi di Malaysia dan kedudukannya tiada tandingan dalam sistem pemerintahan di negara ini.

Tambahan pula, ia merupakan institusi yang terdiri daripada kaum dan agama yang pelbagai.

Institusi sedemikian berpotensi memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menyelesaikan cabaran etnik di negara ini, berbanding kebanyakan institusi yang lain.

Penglibatan Parlimen melalui jawatankuasa Dewan Rakyat dalam peristiwa etnik yang konkrit akan memperkukuhkan pengalaman Parlimen dalam sistem pengurusan hubungan
etnik.

Setelah memikirkan tentang rusuhan yang berlaku, beberapa pengajaran bernilai boleh kita ambil daripada insiden tersebut.

Pertama sekali, maklumat sahih tentang latar belakang
sesuatu kejadian, evolusi dan kesannya perlu dimaklumkan kepada orang ramai dengan segera, dan perkara tersebut sebaiknya harus dilakukan oleh pihak berkuasa.

Kedua, penipuan dan maklumat yang menyimpang perlu segera ditangani dengan berkesan. Perkara ini mungkin akan memerlukan tindakan drastik terhadap pengguna media sosial yang tidak bertanggungjawab.

Ketiga, sesiapa sahaja yang bertanggungjawab dalam
mempengaruhi fikiran orang awam, sama ada pemimpin politik, aktivis sosial atau pengulas media, perlu mengambil pendekatan yang menyeluruh, bukan sekadar pendekatan partisan dan sempit.

Tidak dinafikan, dalam kejadian kuil tempoh hari, ada beberapa individu memberi reaksi partisan terhadap isu tersebut dan sebagai akibatnya, ia menjadi lebih buruk
dan tidak terkawal.

Keempat, pihak yang terlibat perlu mencari jalan penyelesaian dengan segera tanpa melambatkan proses tersebut. Apabila isu etnik dibiarkan untuk memburukkan
lagi keadaan, ia mampu mewujudkan persengketaan yang besar.

Kelima, walaupun penyelesaian tidak harus mengambil masa yang panjang, semua pihak harus memastikan penyelesaian tersebut adalah adil kepada semua pelaku.

Sebagai garis panduan am, pihak yang terlibat seharusnya mematuhi Perlembagaan Malaysia, termasuklah cita-cita dan prinsip-prinsip Rukunegara.

Dr Chandra Muzaffar merupakan bekas pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia (YPM).

Professor Dr Suresh Kumar Govind ialah pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YPM yang baru.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.