Kementerian nafi penyokong PPBM bolot kontrak makanan

Kementerian nafi penyokong PPBM bolot kontrak makanan

Kementerian Pendidikan berkata perolehan pada 2018 sepenuhnya dilaksana dalam talian yang telus.

Kementerian berkata menteri, ketua setiausaha, setiausaha politik menteri dan setiausaha bahagian perolehan tidak terlibat sama sekali dalam mesyuarat lembaga perolehan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan hari ini menafikan dakwaan tender perkhidmatan bekalan makanan bermasak di asrama-asrama sekolah dibolot penyokong PPBM.

Kementerian dalam kenyataan berkata dakwaan itu “tohmahan liar” dan “fitnah jahat” yang bertujuan memburukkan imej kementerian.

“Kementerian membuat satu laporan polis berhubung tulisan laman Facebook terebut,” katanya, menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara itu.

Kementerian berkata pentadbiran baru membuat penambahbaikan kepada tadbir urus tender projek.

“Buat pertama kalinya perolehan pada 2018 sepenuhnya dilaksana secara dalam talian yang telus melalui sistem ePerolehan.”

Kementerian menambah keputusan dibuat berdasarkan matriks penilaian yang ditetapkan Kementerian Kewangan, dan markah penilian juga dijana melalui sistem ePerolehan.

“Lembaga perolehan yang dipengerusikan oleh timbalan-timbalan ketua setiausaha kementerian, turut disertai wakil Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya bagi memastikan keputusan dibuat dengan penuh integriti, yang tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

“Menteri, ketua setiausaha, setiausaha politik menteri dan setiausaha bahagian perolehan tidak terlibat sama sekali dalam mesyuarat lembaga perolehan, dan tidak terlibat dalam sebarang proses membuat keputusan.”

Kementerian berkata sebanyak 793 tender dilaksanakan melalui ePerolehan sepenuhnya, termasuk 319 tender membekal makanan bermasak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.