
Presiden Mohd Azmi Abdul Hamid berkata dakwaan sekolah kerajaan menjadi sekolah agama tidak timbul jika pendidikan Islam diajar secara betul berdasarkan nilai jatidiri yang universal.
Beliau sifatkan perhatian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kelemahan pengajaran pendidikan Islam yang gagal mendidik amalan Islam yang betul di kalangan pelajar sebagai sesuatu yang tepat.
“Sememangnya pendidikan Islam perlu diberi penekanan supaya pelajar menyerap segala panduan hidup berpandukan Al-Quran dan sunnah.
“Akan tetapi kami berpendapat melihat agama secara terpisah dengan pendidikan akademik adalah salah dan perlu diperbetulkan dalam sistem pendidikan negara.
“Mengajar sains dan teknologi tanpa mengaitkan dengan nilai adalah kesilapan yang dilakukan oleh sistem pendidikan sekular Barat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir mengenai hasrat kerajaan merombak kurikulum pendidikan dan menggubal kurikulum baru di sekolah kerajaan.
Pada 13 November lalu, Kementerian Pendidikan memaklumkan akan menggubal kurikulum pelajaran baru yang dijangka dapat dilaksanakan pada penghujung 2020 atau awal 2021.
Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, perkara itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan bergantung kepada nasihat Jawatankuasa Dasar dan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan yang dilantik.
Azmi berkata, bagi Mapim, pendidikan Islam tetap perlu diberi perhatian khas dan segala nilai-nilai universal yang dibawa dalam disiplin ilmu Islam hendaklah diintegrasikan merentas mata pelajaran yang diajar.
Beliau berkata kurikulum dan sistem pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam perlu dinilai semula supaya penguasaan Al-Quran dan sunnah dihayati dan diterjemahkan dalam amalan hidup bermasyarakat dan bernegara, sekaligus memajukan diri dalam pelbagai aspek kehidupan, ekonomi, sains dan teknologi, kemahiran vokasional, pentadbiran serta pembangunan fizikal.