Rampasan kuasa di Gabon, 4 askar ditahan

Rampasan kuasa di Gabon, 4 askar ditahan

Askar pemberontak memasuki stesen radio nasional dan membuat tuntutan ketika Presiden Ali Bongo sedang dirawat di Maghribi.

(Gambar AFP)
LIBREVILLE:
Empat askar ditahan pada Isnin dipercayai mempunyai kaitan dengan percubaan rampasan kuasa di Gabon.

Xinhua melaporkan percubaan rampasan kuasa itu turut menerima kecaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kesatuan Arab (AU).

Jurucakap kerajaan Gabon, Guy-Bertrand Mapangou berkata askar pemberontak memasuki stesen radio nasional di Libreville pada kira-kira 4 pagi waktu tempatan dan mengumumkan penubuhan satu majlis pemulihan negara.

Dalam satu kenyataan, Leftenan Pengawal Republik Ondo Obiang Kelly ragu dengan kenyataan Presiden Ali Bongo pada 31 Disember lalu yang “mengenai kemampuannya untuk meneruskan tugas sebagai Presiden.”

Bongo, ketika ini menjalani sesi pemulihan di Maghribi selepas mengalami serangan angin ahmar pada akhir Oktober 2018.

Pasukan keselamatan menyerbu stesen radio di Libreville, dilaporkan menangkap pemimpin mereka dan membebaskan wartawan atau juruteknik yang terpaksa membantu pemberontak membuat rayuan mereka.

Pihak berkuasa Gabon berkata keadaan di ibu negara kini terkawal dan semuanya dalam keadaan tenang.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pada Isnin turut mengutuk percubaan rampasan kuasa itu.

“Wakil khas PBB di Afrika Tengah, Francois Lounceny Fall sedang memantau keadaan itu dan bersedia untuk memberikan sebarang bantuan yang diperlukan,” katanya.

Beliau berharap keadaan di Libreville kembali seperti sediakala dan menyeru semua pihak untuk mematuhi perlembagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.