
Menurutnya, kenaikan itu tidak dapat dielakkan, bagaimanapun beliau berkata tarif air di negeri itu kekal “paling rendah di negara ini” walaupun selepas semakan semula tarif.
Menurutnya, kenaikan itu mungkin belasan % atau lebih 20% kerana tiada keputusan dibuat berhubung peratusan kenaikannya.
Sebaik sahaja harga air naik, katanya, denda untuk pembaziran air iaitu surcaj pemulihan air akan dimansuhkan.
“Cakap-cakap mengenai semakan semula tarif sudah lama. Kami menunggu pihak berkuasa persekutuan yang relevan menghubungi kami mengenai cadangan tersebut.
“Ia akan naik, tapi kita tidak tahu berapa,” katanya pada sidang media di Komtar, hari ini.
Malam tadi, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, kenaikan tarif air perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri tersebut dari sudut perkhidmatan.
Pulau Pinang merupakan pengguna tertinggi air di negara ini. Pada 2017, ia menggunakan 276 liter/kapita/hari, berbanding purata nasional 209 liter/kapita/hari pada tahun sama.
Singapura pula menggunakan 143 liter/kapita/hari. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mencadangkan 148 liter/kapita/hari.
Pulau Pinang mengenakan surcaj kepada mereka yang menggunakan lebih 35,000 liter sebulan dengan bayaran 48 sen bagi setiap 1,000 liter yang digunakan. Isi rumah dengan lebih 8 orang layak mendapat rebat 60% daripada surcaj tersebut.
Bayaran tambahan itu dikenakan kepada 25% daripada 589,797 pengguna domestik, iaitu kira-kita 135,000 pengguna.
Tarif air di Pulau Pinang ialah 32 sen bagi setiap 1,000 liter, kekal paling murah di negara ini, berbanding purata kebangsaan 69 sen dan RM1.31 bagi Johor.
Bil air maksimum untuk 77% isi rumah di Pulau Pinang hanya RM11.30 sebulan atau RM22.60 bagi kitaran bil 2 bulan.