
Beliau berkata, sebelum majlis itu dilaksanakan, satu program muzakarah akan diadakan untuk mengumpul semua pengelola sekolah tahfiz yang berdaftar serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam mengendalikan institusi tersebut.
“Muzakarah itu kita harap akan dapat menyiapkan satu resolusi untuk mewujudkan Majlis Tahfiz Negara,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan lawatan ke Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam catatan Facebook rasminya semalam, yang menyatakan sudah tiba masanya menubuhkan Majlis Tahfiz Negara kerana bilangan sekolah tahfiz swasta semakin bertambah.
Tunku Ismail juga berharap proses pendaftaran sekolah tahfiz dapat dipercepatkan bagi memastikan bangunan sekolah tahfiz selamat dan mengikut piawaian keselamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurut Mujahid, majlis itu ialah platform untuk membincangkan 5 teras, iaitu undang-undang dan penguatkuasaan, memperkenal model institusi tahfiz diiktiraf, memantapkan kurikulum pendidikan tahfiz yang sesuai dengan pendidikan arus perdana, memperkasa tadbir urus institusi tahfiz, mewujudkan sistem pengiktirafan dan pensijilan institusi tahfiz.
“Kita ada dasar pendidikan tahfiz negara…kita tahu tahfiz ini luas sambutannya, dia tumbuh bagai cendawan, sebab itu kita nak lihat daripada sudut keselamatan, kukurikulum dan lebih penting adalah pembelaan bagi pelajar, guru dan juga ibu bapa yang hantar anak-anak (di tahfiz).”
Sementara itu, beliau berkata pindaan Seksyen 97 Akta 505 Pentadbiran Undang-undang Islam 1993 (Wilayah Persekutuan) bertujuan memperluaskan kuasa dalam mengawal selia sekolah agama Islam.
“Apabila akta ini dipinda, kita boleh mengambil tindakan terhadap institusi tahfiz yang tidak berdaftar kerana selama ini kita tidak ada kuasa untuk berbuat demikian.”
Mujahid turut mengingatkan pengusaha institusi tahfiz di seluruh negara untuk berdaftar bagi memastikan mereka tidak ketinggalan menerima bantuan diperuntukkan kepada institusi itu menerusi Belanjawan 2019.
Katanya, bantuan itu antaranya untuk penambahbaikan infrastruktur agar pusat pengajian berkenaan mengikut spesifikasi keselamatan yang ditetapkan JBPM.
“Kita bantu daripada segi infrastruktur, lepas itu kita ada undang-undang untuk pantau supaya mereka menepati syarat-syarat pendaftaran, selepas itu barulah kita bagi peruntukan tambahan.”
Mengenai lawatan hari ini, Mujahid berkata, lawatan sempena program ziarah rahmah itu melibatkan Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menziarah dan menyantuni penduduk Orang Asli di kampung berkenaan.
“Saya rasa perkampungan Orang Asli ini paling moden, saya ziarah beberapa rumah penduduk di sini, mereka amat mesra dan menerima kunjungan kami,” katanya sambil menambah perkampungan itu mempunyai 848 penduduk dengan 268 daripadanya beragama Islam.