
Amnani A Kadir daripada Child A.C.T. menggesa Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya bersama-sama menguruskan pangkalan data yang dicadangkan itu.

Beliau turut menggesa pelaksanaan peraturan keselamatan yang ketat, kemudahan standard, dan pemeriksaan latar belakang kakitangan.
Amnani berkata, banyak sekolah tahfiz ketika ini beroperasi di luar sistem pendidikan formal dan tidak tertakluk kepada standard atau pemantauan kerajaan.
“Ketika ini pendaftaran adalah secara sukarela di bawah Jakim, jadi sukar untuk memantau keselamatan dan kebajikan pelajar,” katanya kepada FMT.
Amnani turut menggesa audit berkala, pemeriksaan mengejut dan hukuman termasuk penggantungan terhadap pelanggaran peraturan, di samping insentif seperti geran dan pelepasan cukai kepada sekolah yang mematuhi standard keselamatan.
Beliau berkata semua kakitangan termasuk guru, warden dan jurulatih mestilah disaring dan disahkan sebelum dibenarkan bekerja dengan kanak-kanak.
Kenyataan beliau susulan gesaan pengasas Children’s Protection Society, Nazir Ariff supaya asrama di sekolah tahfiz ditutup susulan peningkatan kes penderaan seksual oleh penjaga.
Sebagai contoh di Selangor, satu kajian UiTM-UPSI mengenai tadbir urus institusi tahfiz swasta tahun lalu mendapati 76.5% dimiliki secara individu. Menurut kajian itu, 79.4% berdaftar dengan majlis agama Islam negeri, namun hanya 17.6% mematuhi semua keperluan peraturan.
Kajian itu juga mendapati hanya 38.2% daripada 34 institusi yang diselidik menawarkan kurikulum akademik-tahfiz bersepadu, sekali gus menyerlahkan jurang dalam penyelarasan dan ketiadaan kerangka peraturan yang selaras.
Bagaimanapun, Amnani berkata menutup asrama bukanlah penyelesaian, sebaliknya perlindungan sebenar terletak pada tanggungjawab dan pengawasan orang dewasa.
“Terdapat sikap bertolak ansur terhadap penderaan dalam masyarakat kita, di mana kita memilih untuk berdiam diri berbanding bersuara. Kita mesti mengatasi budaya tidak berkonfrontasi dan sikap tidak bertindak ini apabila melibatkan keselamatan anak-anak kita,” katanya.
Pengasas PS the Children, Madeleine Yong bersetuju bahawa isu teras terletak pada budaya yang bertoleransi terhadap penderaan.
Beliau berkata, guru harus dilatih untuk mengesan penderaan dan menyokong mangsa, selain menggesa penambahbaikan mekanisme pelaporan bagi mengelakkan kanak-kanak terus mengalami trauma.
Peguam kanan V Parthipan berkata, Malaysia sudah mempunyai undang-undang yang kukuh seperti Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang membenarkan sabitan berdasarkan keterangan kanak-kanak semata-mata.
Namun, beliau berkata kes sering gagal apabila bukti sokongan seperti rakaman video disalah urus atau pegawai tidak mempunyai latihan yang mencukupi untuk berurusan dengan mangsa muda.
“Masing-masing melakukannya dengan cara sendiri. Mereka sepatutnya mengikut standard yang betul,” katanya.
Beliau juga menggesa saru unit polis khusus untuk mengendalikan kes penderaan seksual kanak-kanak serta prosedur yang lebih ketat dalam pengendalian bahan bukti.