Rundingan terus buku teks DLP dipersoal

Rundingan terus buku teks DLP dipersoal

PH berjanji buka tender tetapi sebaliknya buat keputusan berunding.

KUALA LUMPUR:
Keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membenarkan perolehan buku teks Program Dwi Bahasa (DLP) dibuat secara rundingan terus semalam dipersoal kerana didakwa bercanggah dengan janji pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, sebelum PRU14, PH, terutamanya DAP, mengkritik budaya rundingan terus dan berjanji kepada pengundi bahawa mereka akan membuka tender untuk orang awam.

Namun, tindakan mereka membenarkan budaya rundingan secara terus membuktikan PH sudah melupakan janji.

Wee turut mengingatkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah di sidang Dewan Rakyat pada 30 Oktober 2018 sebelum ini pernah menyatakan kerajaan hanya akan membenarkan rundingan secara terus dalam situasi kecemasan, keseragaman, bekalan dan perkhidmatan serta untuk kontraktor Bumiputera.

“Saya sudah berkata satu-satunya pengecualian dan alasan yang boleh diterima adalah dari sudut ‘keselamatan dan strategi’ kerana melibatkan keselamatan negara dan keperluan peralatan yang spesifik.

“Sekarang kebimbangan itu terbukti pada hari ini, Kementerian Kewangan membenarkan perolehan dibuat secara terus dan akhirnya akan membuka ruang untuk budaya rundingan terus berleluasa pada masa akan datang.”

Dalam kenyataan semalam, Kementerian Kewangan membenarkan kelulusan khas bagi permohonan melaksanakan perolehan buku teks tersebut secara rundingan terus pada 18 September 2018 supaya keperluan pelajar dapat dipenuhi secepat mungkin.

Ini kerana pada 9 Jan lalu, buku teks DLP untuk semua sekolah yang menawarkan mata pelajaran Matematik dan Sains Tingkatan 3 kini dalam proses penerbitan dan hanya akan mula dibekalkan Mac depan.

Kementerian Pendidikan menjelaskan, buku teks bagi kedua-dua mata pelajaran itu tidak dapat disediakan pada awal sesi persekolahan kerana sedang dalam proses menambah baik sistem perolehan dan mengelakkan sistem rundingan terus sejak pertengahan tahun lalu.

Disebabkan itu, segelintir ibu bapa merungut tentang penangguhan tersebut kerana bimbang ia akan menjejaskan tumpuan anak mereka menghadapi peperiksaan PT3.

“Dengan keadaan PH ketika ini, mereka akan mempertahankan keputusan itu dengan berjuta-juta alasan. Mereka sudah lupa dengan janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya sebelum ini, iaitu pembukaan tender akan digunakan secara berleluasa dan telus, tapi saya pasti rakyat tidak akan melupakannya.

“Bilakah PH akan mengotakan janjinya? Tidak terlalu lambat untuk dijadikan azam tahun baharu, memandangkan 2019 baru sahaja bermula, lebih baik jika mereka menepati janji daripada asyik membuat pusingan-U,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.