Tiada arahan larang hiasan babi sempena Tahun Baru Cina

Tiada arahan larang hiasan babi sempena Tahun Baru Cina

Tinjauan FMT di sekitar KL setakat ini mendapati haiwan itu tidak kelihatan dalam hiasan Tahun Baru Cina.

(Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Tiada larangan ke atas hiasan babi sempena Tahun Baru Cina di Wilayah Persekutuan, kata Menteri Khalid Samad, selepas ketiadaan gambar anjing dan babi dalam sambutan tahun lepas menjadi perbualan internet.

“Adakah lukisan babi juga haram?” katanya kepada FMT.

Tinjauan FMT di sekitar KL mendapati haiwan itu tidak kelihatan dalam hiasan Tahun Baru Cina, yang akan disambut 3 minggu dari sekarang iaitu pada 5 Februari.

Takwim Cina dibahagikan kepada kitaran 12 tahun dan setiap tahun bertemakan 12 haiwan terpilih, bermula dengan tikus dan berakhir dengan babi. Sambutan kali ini menandakan tahun terakhir dalam kitaran itu.

Tahun lalu, langkah sebuah pasaraya menjual baju kemeja T zodiak Cina menjadi perbualan pengguna media sosial kerana ia menggantikan gambar anjing dan babi dengan aksara.

Tidak diketahui kenapa 2 haiwan itu tiada dalam rekaan baju itu, tetapi pihak berkuasa sebelum ini pernah melarang atau mengehadkan produk yang dikaitkan dengan anjing dan babi.

Pada 1995, Malaysia mengharamkan filem komedi “Babe” kerana menonjolkan seekor babi sebagai watak utama, walaupun penerbitan DVD diluluskan beberapa tahun kemudian. Pada 2016, watak seekor babi dikeluarkan daripada poster promosi untuk filem Hong Kong “The Monkey King 2”.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata lambang haiwan dalam takwim Cina tidak perlu dijadikan isu, selaras dengan “fiqh ta’ayush” atau kebersamaan dalam masyarakat majmuk.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.