
Kementerian itu dalam kenyataan berkata aspek keselamatan makanan tetap menjadi keutamaan bagi mengelakkan sebarang risiko penularan penyakit haiwan di dalam negara meskipun kelonggaran import diberikan.
Katanya, semua bekalan tertakluk pematuhan kawalan keselamatan makanan yang ketat serta prosedur operasi standard (SOP) kesihatan veterinar yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Kementerian dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah meluluskan pengimportan daging khinzir dari negara Thailand dan negara Brazil sebagai langkah untuk menampung keperluan bekalan daging khinzir di pasaran tempatan semasa musim perayaan tersebut.
“Pengimport tempatan boleh merujuk kepada laman sesawang rasmi DVS bagi mendapatkan senarai abatoir yang diluluskan di negara Brazil (tiga abatoir) dan negara Thailand (empat abatoir) bagi tujuan pengimportan daging tersebut,” katanya.
Tambahnya, kementerian kekal komited dalam memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negara serta melindungi kepentingan pengguna secara berterusan.
Tahun lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan semula daging babi diimport dari Thailand, susulan penilaian risiko wabak demam babi Afrika (ASF) yang dijalankan DVS.
Difahamkan kerajaan menghentikan penerimaan import produk daging babi dari Thailand, China, Poland, Belgium, Vietnam dan Kemboja pada 2019, susulan penularan wabak ASF yang boleh memberi kesan buruk kepada industri ternakan tempatan serta kesihatan pengguna.
Sebelum itu, Mohamad dilaporkan berkata, DVS akan meneliti cadangan mengimport daging babi dari Thailand, Brazil dan China sebagai langkah menangani isu kekurangan bekalan tempatan, seperti yang disyorkan Gabungan Persatuan Pedagang Daging Babi.
Cadangan itu diutarakan susulan penutupan beberapa ladang di Selangor ekoran penularan penyakit ASF yang turut mengakibatkan harga daging babi segar meningkat dalam pasaran tempatan.