Kepintaran buatan boleh selamatkan Harimau Malaya

Kepintaran buatan boleh selamatkan Harimau Malaya

Kepintaran Buatan atau Artificial Intelligence memudahkan segala bentuk kerja dari menghiburkan diri sendiri, membeli-belah, bisnes, pentadbiran dan pengurusan sehingga menukar kerajaan!

Kegagalan menguasai teknologi maklumat bukan sahaja membawa kepada kejatuhan Umno-BN, malah lebih menyedihkan ia antara faktor menyebabkan kepupusan spesis harimau kebanggaan negara, Harimau Malaya.

Entah mengapa, semenjak September 2018 laman carian internet dan media sosial kepunyaan saya mempamerkan “perangai” pelik.

Ia seolah-olah tahu apa yang saya ingin cari, iaitu dengan sekadar menaip 2, 3 huruf perkataan pertama, terus akan dipaparkan cadangan carian yang tepat seperti mana apa yang saya inginkan. Kerap kali hal ini berlaku.

Di laman media sosial pula, dilambakkan kepada saya maklumat pro-pembangkang. Pernah satu ketika, tidak pastilah sama ada ia kerja sia-sia atau tidak, saya mengira dalam 300 paparan, hanya 9 maklumat pro-kerajaan yang saya perolehi.

Adakah laman media sosial ini sebenarnya dicipta mesra pembangkang dan pengecam? Satu persoalan baru yang menarik untuk dikaji.

Terkait dengan hal pelik ini, teringat saya apabila pengasas Facebook, Mark Zuckerberg disoal balas oleh Kongres AS berhubung dakwaan bahawa Facebook telah mempengaruhi 87 juta pengguna untuk cenderung memilih Trump sebagai presiden Amerika 2016 yang lepas.

Tidak lama setelah itu Sundar Pichai, CEO Google juga dipanggil berkaitan isu yang sama. Pelbagai istilah IT digunapakai dalam soal balas ini, seperti algoritma.

(Memang menakutkan, semasa menulis artikel ini, saya hanya menaip huruf Z-U terus nama Zuckerberg muncul dan A-L terus perkataan algoritma terpapar di skrin).

Telah saya ajukan kekusutan ini kepada 2 orang rakan yang bekerja di bidang IT. Kesimpulan yang saya peroleh adalah, ya benar, tiada kerahsiaan di dunia maya ini.

Merekalah pelopor Kepintaran Buatan atau Artificial Intelligence (Ai) yang memudahkan segala bentuk kerja dari menghiburkan diri sendiri, membeli-belah, bisnes, pentadbiran dan pengurusan sehingga menukar kerajaan!

Secara mudahnya kita secara sedar atau tidak memberi dan berkongsi pelbagai data kepada Ai yang masih dikawal oleh manusia. Saya bukan sekadar bermaksud mengenai biodata diri, bahkan emosi kita juga, termasuk data berharga yang boleh dimanipulasikan oleh Ai.

Sekitar 3 tahun ini, negara China berusaha keras mengungguli teknologi penting masa hadapan ini sehingga melahirkan beberapa jutawan cilik seusia 9 tahun seperti Hillary Yip yang mengasaskan platform media sosial untuk kanak-kanak.

Sementara di Malaysia mengalami masalah generasi yang lahir bermula 1990-an yang dipanggil milennial, Gen Z dan Alpha yang hanya memanfaatkan teknolgi maklumat untuk menjadi “youtubers”, “insta-famous” dan “gamers” yang tidak fasih atau lebih teruk tidak tahu berbahasa Melayu.

Di Eropah, Estonia menjadi negara 100% e-goverment, dan hampir mengatasi Silicon Valley di AS. Di Malaysia, projek MSC Cyberjaya menjadi seperti satu kawasan misteri yang kini terkenal dengan kawasan restoren “hipster”.

Malta yang juga sebuah negara pulau di Eropah mengisytiharkan akan menjadi – blockchain hub Island – terunggul di Dunia. Ini bermaksud mengikut pengiraan Malta, dalam 10 tahun akan datang urusan jual beli bukan sahaja 100% online tetapi tidak lagi menggunakan nilai mata wang yang ada sekarang.

Oleh kerana Malta terletak hampir dengan benua Afrika, negara Afrika, terutamanya negara perjuangan Nelson Mandela mulai menunjukkan keseriusan mereka untuk bergerak ke arah negara digital.

Persoalannya, setakat mana persiapan Malaysia menghadapi gelombang era Ai dan negara digital ini? Bukan sahaja dari segi kemudahan pangkalan data, malahan ke peringkat mempertahankan kedaulatan negara daripada campur tangan digital luar.

China misalnya menyekat akses Google dan Facebook, tetapi mereka menampilkan pangkalan mereka sendiri sehingga kedaulatan digital kuasa besar dunia lain tergugat. Pernah satu ketika Hollywood iaitu syurga propaganda AS hampir-hampir ditawan oleh sebuah syarikat China yang bernama Tencent.

Ini membawa kepada beberapa penangkapan di bawah tuduhan perisik digital terhadap beberapa kakitangan Huawei Group yang kini giat membangunkan pangkalan 5G digital di seluruh dunia.

Kebanyakan pengguna telefon android pasti mempunyai folder sistem Tencent yang entah bila berada di dalam telefon kita. Antara fungsi folder Tencent ini adalah merekod setiap data yang kita “upload” dan “download”. Menakutkan!

Huawei dan Tencent ini adalah sebuah konsortium yang memasang impian untuk menguasai pangkalan “blockchain” dunia tidak lama lagi. Mereka telah membuktikannya di China dan hampir di serata Asia melalui sistem keewangan Wechat dan Alipay.

Pilihan raya Umum Indonesia 2019 ini juga rancak dengan teknolgi penggunaan data. Syarikat pangkalan data tumbuh subur secara mendadak. Dua jenis perkhidmatan yang popular iaitu, “social media influencer” dan “survey”.

Sebelum debat pertama calon presidennya baru-baru ini, data penguasaan media sosial diungguli oleh Probowo-Sandi dari segenap ciri-cirinya, iaitu “followers”, “viewers”, “hashtag” dan “comment”.

Manakala Jokowi-Maaruf diramalkan menang pilihan raya melalui tidak kurang 10 syarikat survey persis Invoke Malaysia. Mungkin tidak berkaitan, tetapi dilaporkan Rafizi kini kerap ke Indonesia untuk tujuan bisnes.

Penganalisis politik mengeluarkan satu istilah politik setelah kemenangan Trump 2016, iaitu “digital populist”._Ramalan kemenangan Trump menidakkan data “survey” Hillary Clinton.

Cuma agak lucu melihat Probowo-Sandi dibuli teruk oleh gandingan Jokowi-Maaruf ketika sesi debat. Tidak nampak kesan positif keunggulan media sosial apabila Probowo sering mengeluarkan fakta yang salah.

Sebagai contoh beliau menyatakan keluasan Jawa Tengah adalah sebesar Malaysia dan tidak dapat menjawab dengan tuntas serangan Jokowi yang menanyakan mengapa parti Probowo memilih bekas pesalah rasuah dan didominasi oleh lelaki dalam keadaan Probowo berkempen partinya anti rasuah dan membuka peluang untuk wanita memegang jawatan penting.

Majoriti menteri PH adalah aktivis rakyat dahulunya. Mungkin dengan mengadakan debat 4 bulan sekali bersama pembangkang dalam konsep “town hall” boleh mengubat rindu para menteri untuk berceramah dan mengembalikan semangat untuk berkhidmat dengan lebih baik.

Kemenangan PH pula unik kerana ia pada ketika itu menguasai kedua-dua sektor Ai ini, iaitu media sosial dan “survey”. Cuma sekarang dalam ruang lingkup kehidupan digital, PH menunjukkan kelemahan dalam menguasai teknologi maklumat dan pangkalan data ini.

Hashtag “pakatanhancing” dan “maluapabosskuu” lebih popular daripada hashtag “reformasi” ataupun “najibpencuri”. Perkembangan teknologi ini, terutamanya Ai bergerak pantas dan tidak boleh diabaikan.

Antara contoh kegagalan menguasai teknologi ini dapat dilihat apabila Umno-BN kalah. Ini diakui sendiri oleh Najib Razak yang kini dinobatkan di alam siber sebagai “Troll King” Pakatan Harapan.

Kegagalan menguasai teknologi maklumat bukan sahaja membawa kepada kepupusan Umno-BN malah menyedihkan ia juga antara faktor menyebabkan kepupusan spesis harimau kebanggaan negara, Harimau Malaya.

500 ekor direkodkan pada 2009 yang asalnya sejak 1950-an Harimau Malaya berjumlah 3,000 ekor. Walaupun didanai wang jutaan ringgit, kerajaan Malaysia gagal menambah biak Harimau Malaya yang kini diisytiharkan oleh WWF sebagai haiwan yang hampir pupus kerana tinggal kurang lebih 200 ekor sahaja.

Lebih memilukan diberitakan sekarang hanya 9 orang renjer sukarelawan tanpa senjata (bukan terdiri daripada anggota perhilitan, polis hutan mahupun askar) mengawal hutan Di-Raja Belum-Temenggor berusia 130 juta tahun seluas 3 kali ganda Singapura.

Sudah tentu teknologi maklumat yang canggih bukan sahaja dapat membantu merekod bahkan dapat memantau dan melindungi hutan seluas ini daripada apa jua ancaman. Teknologi pengesanan dan pengecaman serta “drone” adalah sekadar contoh.

9 orang pahlawan ini berperang melawan pemburu haram dari Thailand, Kemboja dan Vietnam yang sudah tentunya merupakan syaitan suruhan Iblis Kartel penyeludupan yang berkerjasama dengan rakyat Malaysia yang tidak bermaruah.

Sudah tentunya teknologi Ai dapat membantu mengoptimumkan khidmat anggota perhilitan, polis hutan dan tentera untuk membantu 9 orang pahlawan renjer yang sedang merayu memerlukan lagi 50 orang sukarelawan.

Tolong jangan beri apa-apa alasan untuk tidak berjuang memerangi pemburu haram yang lengkap bersenjata. Ancaman kepupusan Harimau Malaya, sang Raja Rimba Malaysia, juga akan menyebabkan eko-sistem hutan belantara terganggu.

Ketidakpedulian terhadap kepentingan teknologi maklumat adalah satu bencana politik dan kehidupan!

Luqman Hisyam adalah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.