Akta Hasutan tak boleh dipinda sewenang-wenang, kata pakar perundangan

Abdul Aziz Abdul Rahman berkata Akta Hasutan undang-undang luar biasa kerana kemampuannya dalam mempertahankan keselamatan negara. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Akta Hasutan ialah satu undang-undang luar biasa yang harus dikekalkan kerana kemampuannya dalam mempertahankan keselamatan negara, kata pakar perundangan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Menyarankan demikian, beliau berkata sebarang tindakan untuk meminda atau memansuhkan Akta Hasutan akan mempunyai implikasi besar.

Katanya lagi, undang-undang itu tidak boleh dimansuh atau dipinda sewenang-wenangnya tanpa mendapat persetujuan Majlis Raja-raja.

Aziz, 85, merupakan bekas pegawai perundangan Mageran (Majlis Gerakan Negara) dan satu-satunya pegawai yang masih hidup dan terlibat dalam membuat draf pindaan terhadap Akta Hasutan itu.

Berikutan pindaan itu, akta tersebut tidak boleh dibatal atau dipinda melainkan dengan persetujuan Majlis Raja-raja dan sokongan majoriti 2/3 ahli Parlimen, katanya kepada wartawan ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Beliau berkata, berikutan rusuhan berdarah 13 Mei 1969, Mageran yang ditubuhkan sebagai kerajaan darurat meminda Akta Hasutan bersama-sama Perlembagaan Persekutuan dengan menambah Fasal 4 kepada Perkara 10.

Perkara 10(4) itu menyekat kebebasan bersuara masyarakat terhadap 4 perkara yang dianggap sensitif iaitu bahasa kebangsaan, hak istimewa Bumiputera, hak warganegara Malaysia dan kedaulatan dan kuasa raja-raja Melayu.

Katanya, pindaan juga dibuat pada Perkara 159(3) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan supaya sokongan majoriti 2/3 Parlimen diperlukan untuk meluluskan sebarang pindaan dan pembatalan terhadap Akta Hasutan, manakala 1 klausa tambahan iaitu Fasal 5 dimasukkan.

Fasal 5 Perkara 159 menyatakan sesuatu pindaan terhadap Perkara 10(4) termasuk Perkara 152 (kedudukan Bahasa Melayu), Perkara 153 (kedudukan istimewa Bumiputera), hak warganegara Malaysia tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-raja.

“Saya berani kata, kerana adanya Akta Hasutan, kita tidak ada huru-hara perkauman. Ia satu akta yang luar biasa,” katanya.

Katanya lagi, sebarang tindakan dan cadangan untuk menghapuskan akta itu satu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata kerajaan berhak untuk meminda, memansuh atau memperkenal mana-mana akta yang dirasakan perlu dan bersesuaian di negara ini.

“Tidak perlu minta kebenaran daripada mana-mana pihak…tapi dalam proses demokrasi bolehlah kerajaan dengar suara dan semua pihak yang berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sehubungan itu, kerajaan akan membuat kajian secara terperinci terlebih dahulu dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak mengenai cadangan meminda Akta Hasutan sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

“…dan dalam proses sedemikian, pihak kerajaan secara protokol bolehlah minta perkenan Majlis Raja-raja kerana pindaan itu akan melibatkan hak-hak perundangan raja-raja,” katanya.

Pada Isnin lepas, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata Akta Hasutan antara 6 akta dalam kajian sama ada perlu dipinda atau dimansuhkan.

Penggunaan Akta Hasutan pernah digantung sementara pada Oktober lepas, namun ia kemudian dihidupkan semula pada Disember tahun lepas.

Akta itu digunakan buat pertama kalinya pada 1948 oleh penjajah British bertujuan menyekat sebarang tindakan dan ucapan bersifat hasutan yang boleh membangkitkan tentangan orang tempatan terhadap penjajah.