PRK Semenyih: Penganalisis saran PSM jangan tanding, pengundi tidak faham ideologi kiri

Penganalisis Awang Azman Awang Pawi berkata, PSM tidak mempunyai ramai penyokong meskipun idea perjuangannya lebih baik daripada PH dan BN.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik merasakan Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak wajar meletakkan calon pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang akan bermula 16 Februari depan kerana fahaman kiri parti itu.

Prof Madya Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, masyarakat tidak memahami ideologi sosialisme yang dibawa PSM dan lebih terdedah kepada idea konservatisme dan pertengahan.

Idea konservatisme amnya berakar pada tradisi dan agama, manakala idea pertengahan amnya mencari keseimbangan antara fahaman berbeza.

Katanya lagi, PSM tidak mempunyai ramai penyokong meskipun idea perjuangannya lebih baik daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Sukar untuk PSM kerana idea kekirian kurang diketahui, dipromosi dan digerakkan secara besar-besaran,” katanya kepada FMT.

“PRK Semenyih dijangka tertumpu kepada PH dan BN yang masing-masing mempunyai penyokong yang ramai.”

Sebelum ini, FMT melaporkan PSM mungkin meletakkan calon di DUN Semenyih, berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, daripada PPBM.

Aktivis PSM, S Arutchelvan yang tewas beberapa kali di Semenyih, adalah antara calon yang dipertimbangkan untuk kawasan pinggir bandar itu.

Pada pilihan raya umum (PRU) lepas, Arutchelvan meraih 1,293 undi berbanding calon PH (23,428 undi), BN (14,464 undi) dan calon PAS (6,966 undi).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac depan sebagai hari mengundi di Semenyih dan 16 Feb sebagai hari penamaan calon.

Dalam pada itu, Dr Azmi Hassan, penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, pilihan raya kecil itu nanti akan menjadi sukar bagi PSM kerana parti itu tidak dilihat sebagai alternatif kepada PH dan BN.

Beliau menambah keputusan PAS untuk tidak meletakkan calon hanya membesarkan peluang pembangkang.

“Jika diambil kira keputusan PRU ke-14, PSM sepatutnya menyedari bahawa 1,000 undi yang mereka perolehi itu boleh menjadi penentu pemenang dalam PRK Semenyih kelak,” katanya kepada FMT.

Azmi menambah konflik dalam PPBM juga boleh mempengaruhi peluang BN.

Pada PRU ke 14 tahun lepas, Bakhtiar menang dengan majoriti 23,428 undi, menewaskan Datuk Johan Abdul Aziz daripada Umno yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerusi itu selama 2 penggal.