Kumpulan kesihatan pertahan pelancongan perubatan daripada kritikan PSM

Kumpulan kesihatan pertahan pelancongan perubatan daripada kritikan PSM

Kata mereka sektor itu sokong pekerja berpendapatan rendah, menjana berbilion ringgit untuk ekonomi, dan membantu menyekat hijrah cendekiawan.

Pelancongan perubatan menjana hasil perubatan langsung RM3.34 bilion tahun lalu, selain mewujudkan kesan pengganda meluas iaitu sekitar RM13 bilion dalam keseluruhan aktiviti ekonomi, menurut Suriaghandi Suppiah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua kumpulan penjagaan kesihatan menolak kritikan Parti Sosialis Malaysia (PSM) terhadap pelancongan perubatan, sambil menegaskan sektor itu mewujudkan peluang pekerjaan, menyokong pekerja berpendapatan rendah, mengurangkan tekanan di hospital awam, dan membantu menyekat hijrah cendekiawan ke luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Kesihatan Pelancongan Malaysia (MHTC), Suriaghandi Suppiah, berkata industri pelancongan kesihatan negara menjadi enjin ekonomi penting dan bukannya satu dasar mewah.

“Bagi setiap ringgit dibelanjakan untuk rawatan perubatan, dianggarkan RM4 akan mengalir dalam ekonomi yang lebih luas seperti hotel, syarikat penerbangan, restoran, pengangkutan darat, dan peruncitan,” katanya kepada FMT.

Suriaghandi Suppiah
Suriaghandi Suppiah.

Beliau berkata, sektor berkenaan menjana hasil perubatan langsung RM3.34 bilion tahun lalu, selain mewujudkan kesan pengganda meluas iaitu sekitar RM13 bilion dalam keseluruhan aktiviti ekonomi.

“Ini adalah wang yang masuk dalam poket pekerja hotel, pemandu teksi, pengusaha restoran, dan perniagaan kecil—bukan hanya kepada pemegang saham hospital.”

Suriaghandi berkata demikian sebagai maklum balas terhadap satu protes baru-baru ini, menyaksikan ahli PSM berarak dari Brickfields ke pejabat MHTC bagi membantah Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026, dengan mendakwa dana awam tidak sepatutnya digunak menyokong penjagaan kesihatan swasta.

Pada Disember, Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj, berkata hospital swasta menarik pakar kerajaan dengan gaji yang lebih tinggi, menjurus kekurangan dalam bidang utama seperti onkologi dan kardiologi di hospital awam.

Suriaghandi mempunyai pandangan berbeza, sambil menyatakan pelaburan dalam pelancongan perubatan bertindak pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, di mana hospital swasta, hotel, dan syarikat penerbangan menyumbang melalui cukai korporat.

“Cukai-cukai inilah membiayai sekolah, hospital, infrastruktur, dan program sosial. Menyifatkan RM20 juta sebagai wang yang diambil daripada rakyat adalah tindakan mengabaikan ekosistem bernilai RM13 bilion yang dipacu dana berkenaan,” katanya.

Kebimbangan hijrah cendekiawan

Suriaghandi mengakui kebimbangan mengenai hijrah cendekiawan dari hospital awam ke hospital swasta, namun berkata penyelesaiannya bukan dengan meletakkan sekatan ke atas sektor swasta.

“Ini adalah cabaran nyata yang sudah lama berlarutan. Tetapi, pelancongan perubatan adalah sebahagian penyelesaian untuk mengekalkan pakar di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pelaburan dalam peralatan canggih dan infrastruktur termaju oleh hospital swasta membolehkan doktor menjalankan amalan pada standard global, tanpa perlu berhijrah ke negara seperti Singapura, United Kingdom, atau Australia.

“Malaysia dapat mengekalkan bakat kerana hospital swasta kita berdaya saing di peringkat global. Melemahkan daya saing itu akan mempercepatkan lagi hijrah cendekiawan, bukan memperlahankannya,” katanya.

Beliau juga berkata, keutuhan sektor swasta dapat mengurangkan tekanan terhadap hospital awam menerusi perkhidmatan kepada kumpulan pesakit berbeza, terutamanya pesakit asing.

Azrul Khalib
Azrul Khalib.

Azrul Khalib daripada Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial juga tidak bersetuju dengan PSM, dan menyifatkan pelancongan kesihatan sebagai elemen penting dalam strategi ekonomi dan penjagaan kesihatan negara.

“Ia membawa masuk pendapatan asing, menyokong pertumbuhan hospital swasta, mewujudkan peluang kerja, dan memperkukuh reputasi Malaysia dalam penjagaan berkualiti,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, sektor tersebut juga memacu permintaan terhadap hotel, pengangkutan, perkhidmatan makanan, farmaseutikal, dan peranti perubatan.

Malaysia merekodkan kira-kira 1.6 juta pelancong kesihatan pada 2024, menjana hasil RM2.72 bilion.

“Adalah tidak tepat mengatakan pelancongan kesihatan menggunakan wang pembayar cukai dengan cara yang sama seperti subsidi penjagaan kesihatan awam. Kebanyakan perkhidmatan dibayar pesakit asing,” katanya.

Azrul berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan pelancongan kesihatan tidak memudaratkan pesakit tempatan atau memburukkan lagi kekurangan kakitangan di hospital awam.

“Ia sepatutnya melengkapi, bukan menjejaskan matlamat kesihatan nasional,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.