
Exco Infrastruktur dan Pertanian Izham Hashim, berkata kerja pembesaran serta pendalamkan sungai masih giat dilaksana dan mengambil masa sebelum memberi kesan menyeluruh.
Katanya, keberkesanan teknologi dari negara tersebut terhad berikutan faktor taburan hujan tinggi serta pembangunan pesat di Selangor.
Menurutnya, perbezaan ketara dapat dilihat apabila Belanda hanya menerima taburan hujan sekitar 700 hingga 900mm setahun, berbanding Selangor yang mencapai hampir 3,000 mm.
“Walaupun kita guna teknologi dari luar negara, kita kena realistik. Struktur tanah, kepadatan pembangunan dan jumlah hujan kita jauh berbeza.
“Paling penting bukan sekadar ambil teknologi, tetapi bagaimana kita sesuaikan dengan keadaan sebenar di Selangor,” katanya menurut Kosmo, di Shah Alam.
Izham ketika mengulas lanjut, berkata proses pembesaran sungai dan menyediakan reka bentuk pelan mengambil masa serta perlu mematuhi prosedur ditetapkan.
“Jadi, memang tidak boleh disiapakan dengan cepat.”
Semalam, media melaporkan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan dukacita terhadap kegagalan berterusan kerajaan negeri menangani isu banjir walaupun pelbagai nasihat telah diberikan sebelum ini.
Baginda ketika berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan DUN Selangor, bertitah isu banjir bukan perkara baharu, malah telah berpuluh kali ditegaskan agar diselesaikan segera termasuk mencadangkan kerajaan negeri merujuk kepakaran luar seperti dari Belanda bagi mendapatkan kaedah terbaik.