
PETALING JAYA: Seorang rakyat Malaysia yang cedera parah selepas diserang dalam kejadian berbaur perkauman di New York, Amerika Syarikat pada Selasa lepas dilapor meninggal dunia.
Akhbar The Star memetik seorang pegawai Wisma Putra berkata Ng Tan Kheong diisytiharkan meninggal dunia pada pagi Jumaat kerana kecederaan parah.
Akhbar New York Post melaporkan Ng dan 2 pekerja lain diserang oleh penyerang bersenjatakan tukul di restorannya di Brooklyn.
Serangan itu menyebabkan Ng mengalami mati otak. Dilaporkan tukang masak restoran itu meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami, dan pengurus restoran dalam keadaan kritikal.
Penyerang itu dilaporkan bernama Arthur Martunovich, 34, yang berjaya diberkas pihak berkuasa.