
AMRC merupakan kluster pusat penyelidikan dan pembangunan pembuatan dengan sebuah pusat latihan yang menyediakan kemahiran praktikal dan teori yang mana syarikat pembuatan perlu bersaing secara global, dari peringkat asas sehingga ke peringkat ijazah sarjana pentadbiran dan doktor falsafah.
Pusat latihan di AMRC memberi tumpuan kepada latihan pelatih peringkat tinggi untuk sektor aeroangkasa, tenaga dan automotif, dan menerima 250 perantis setiap tahun bagi pihak syarikat tempatan.
Dekan dan Pengarah Eksekutif AMRC, Keith Ridgway berkata, pihaknya melihat kunjungan Maszlee, yang dilantik sebagai menteri pendidikan pada Mei lalu sebagai satu penghormatan kepada pusat tersebut.
“Kami sangat gembira kerana beliau telah melahirkan hasrat untuk mengadakan lawatan ke pusat latihan AMRC sempena lawatan beliau (ke UK),” kata beliau sambil menambah, pusat itu telah melatih lebih 1,300 pelatih sejak ia dibuka 4 tahun lalu.
Malah menurut beliau, pusat itu turut menyediakan beratus-ratus syarikat kecil di seluruh rantau ini dengan kemahiran kejuruteraan bernilai tinggi yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Katanya, Maszlee juga akan bertemu jurutera siswazah berbakat AMRC, yang membuka ruang untuk meneroka perkongsian merentasi sempadan, termasuk dengan Boeing, Airbus, Rolls-Royce, BAE Systems dan pengeluar kereta mewah seperti McLaren.
“Perkongsian antara AMRC dan ekonomi yang dinamik seperti Malaysia boleh menjadi satu manfaat bagi kami,” kata Ridgway.
Tambah beliau, AMRC banyak belajar daripada ekonomi Asia Tenggara yang pesat berkembang dan kesediaan mereka untuk berfikir besar, mengambil risiko dan membina kekuatan dalam pembuatan.
Sebelum mengadakan kunjungan ke AMRC, Maszlee, yang kini berada di London dalam lawatan kerja, akan menghadiri Education World Forum 2019.
Beliau juga akan mengadakan lawatan ke Dyson Institute, selepas mengunjungi AMRC.