Bersih gesa SPRM siasat dakwaan PH guna aset kerajaan

Thomas Fann menyifatkan bukti gambar dan video pacuan 4 roda Jabatan Perhutanan Daerah Raub dilekatkan logo PH sebagai ‘merosakkan’.

PETALING JAYA: Bersih 2.0 menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan Pakatan Harapan (PH) menggunakan aset kerajaan untuk berkempen di pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.

Pengerusinya, Thomas Fann menyifatkan bukti gambar dan video PH menggunakan kenderaan Jabatan Perhutanan Pahang sebagai “merosakkan”.

“Bersih memandang serius penyalahgunaan jentera kerajaan untuk kempen politik kerana ia bertentangan prinsip pilihan raya bersih dan adil, serta sangat tidak beretika.

“SPRM perlu siasat perkara ini dan mengambil tindakan wajar,” katanya kepada FMT.

Semalam, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Salehuddin Ishak dilaporkan berkata, kenderaan pacuan 4 roda yang dipinjamkan kepada seorang timbalan menteri disalahgunakan PH untuk kempen PRK Cameron Highlands.

Katanya, beliau mengarahkan kenderaan itu yang dipinjamkan kepada kementerian untuk kegunaan rasmi, diambil balik serta-merta.

Hari ini, Fann turut menggesa kerajaan menggubal Akta Pentadbiran Berkecuali bagi memastikan pemisahan parti dan kerajaan yang jelas supaya tindakan boleh diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

Dahulu, katanya, akta itu dicadangkan ke atas pendakwaan jenayah atau hukuman pentadbiran, termasuk penyingkiran, penurunan pangkat atau pertukaran.

Katanya, semua parti perlu berkempen secara adil kerana penyalahgunaan aset kerajaan akan merugikan pihak lain yang tiada akses kepada kemudahan itu.