
Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pihaknya mengambil maklum masalah dihadapi penduduk kampung itu kerana lokasinya terletak di kawasan tanah tinggi dan menyifatkan ia kes terpencil.
Beliau turut menafikan dakwaan kerajaan negeri BN menganaktirikan atau mengabaikan penduduk kampung itu.
“Apa jua permohonan masyarakat, kita akan terima dan perhalusi, kita tidak boleh lulus serta-merta,” katanya ketika menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk Kampung Desa Kayangan di sini, hari ini yang turut disertai Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Kita akan bantu, (tapi) bukan semua kes boleh selesai, anda kena faham. Kalau dia minta (penempatan) di tanah bukit, mana boleh tolong sebab itu kawasan tadahan air, hutan simpan, kawasan Orang Melayu, kawasan Orang Asli.”
Semalam, media melaporkan kira-kira 165 keluarga di perkampungan tersusun itu hidup hampir 20 tahun tanpa elektrik dan air bersih, walaupun hanya 3km dari Kampung Raja, sebuah perkampungan utama di Cameron Highlands dan 30km dari Tanah Rata.
Penduduk turut mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya pandai berjanji pada musim pilihan raya, tetapi gagal membantu rakyat memandangkan permohonan tanah mahupun lesen pendudukan sementara (TOL) tidak diluluskan.
Tunggu laporan SPR
Mengenai pelbagai kesalahan dilakukan Pakatan Harapan di pilihan raya kecil Cameron Highlands, Rosdy berkata, pihaknya menunggu laporan penuh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengambil tindakan, termasuk isu pemberian “duit minyak” dan penggunaan kenderaan kerajaan negeri bagi tujuan berkempen.
“Kita serah kepada SPR, mungkin mereka sedang kaji dan saya harap kajian mereka itu akan dilaksana dengan cepat sebab rakyat pasti menunggu apakah keputusan seharusnya dibuat.”