Najib nyanyi lagu blues usik Pakatan Harapan

Najib nyanyi lagu blues usik Pakatan Harapan

Bekas perdana menteri tampil dalam satu video muzik berlatarkan lagu 'Kiss and Say Goodbye'.

Najib Razak menyanyikan kegagalan PH menunaikan janji dalam parodi lagu klasik 1970-an ‘Kiss and Say Goodbye’.
PETALING JAYA:
Tak cukup dengan menaiki motosikal di kota, mengusik pemimpin kerajaan di media sosial dan berbual dengan orang muda di kafe, Datuk Seri Najib Razak mengangkat mesej politiknya ke tahap baru: satu video muzik baru yang menyiku kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bekas perdana menteri dalam video itu menyanyikan kisah hidupnya selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas, diiringi muzik “Kiss and Say Goodbye”.

“Inilah hari yang paling sedih dalam hidup ku,” kata Najib, dikelilingi kira-kira 12 penyokongnya.

“Setelah tanggal 9 Mei 2018, aku disingkirkan. Selama ini aku berjuang bermatian-matian demi rakyat yang amat ku kasih dan sayangi. Tapi apakan daya? Aku teraniaya dengan mainan Pakatan Harapan yang agenda semata-mata fitnah dan dendam.”

Versi Bahasa Melayu lagu 1978 ini dipopularkan oleh kumpulan Black Dog Bone dari Singapura.

Video ini merupkan usikan terbaru Najib terhadap pemimpin kerajaan dan dikongsi secara meluas di media sosial.

Najib, yang dilarang keluar negara sejak 8 bulan lalu sedang menunggu perbicaraan untuk pelbagai tuduhan seperti pengubahan wang dan salahguna kuasa berkaitan skandal 1MDB.

Tetapi dalam beberapa minggu ini, bekas perdana menteri itu mendekati penyokongnya dengan slogan #MaluApaBossku” bersama kenyataan-kenyataan mengusik yang mempersoalkan dasar-dasar Pakatan Harapan.

Beliau juga dilihat menghadiri acara santai bersama orang ramai, yang menurut pengkritik satu cubaan untuk menunjukkan dia masih mempunyai sokongan walaupun tersingkir.

Pada minggu lepas, dia diraikan penyokongnya di satu majlis di Kuala Lumpur di mana dia tiba menaiki motosikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.