Hampir 40,000 pemandu berdepan waran tangkap saman Awas

Hampir 40,000 pemandu berdepan waran tangkap saman Awas

Sehingga Disember 2018, 39,358 kes didakwa, namun hanya 47 kes sahaja yang selesai manakala 39,311 kes lagi dikenakan waran tangkap dan disenarai hitam.

Pesalah trafik ini diberi tempoh 60 hari untuk membayar saman bermula tarikh saman dikeluarkan. (Gambar Bernama)
BAGAN SERAI:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyenarai hitam dan mengenakan waran tangkap kepada 39,311 pemandu kerana gagal melunaskan notis saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata sehingga Disember 2018, 39,358 kes didakwa, namun hanya 47 kes sahaja yang selesai manakala 39,311 kes lagi dikenakan waran tangkap dan disenarai hitam mengikut Seksyen 17(1)(d), 29(1A) dan 119B Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata sejak JPJ mengambil alih sepenuhnya 45 operasi kamera Awas di seluruh negara pada 1 Sept 2018, sebanyak 95,850 notis saman dikeluarkan sehingga 21 Jan lalu dan daripada jumlah itu hanya 10,876 saman dibayar manakala selebihnya belum diselesaikan.

“Pesalah trafik ini diberi tempoh 60 hari untuk membayar saman bermula tarikh saman dikeluarkan, selepas daripada tempoh itu pihak JPJ mengambil tindakan tegas dengan membawa kes tersebut ke mahkamah untuk pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Penguatkuasa Lebuhraya JPJ di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol arah selatan, hari ini.

Stesen JPJ di R&R Gunung Semanggol itu merupakan yang ke-2 dibuka di lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) selepas R&R Dengkil arah selatan tahun lalu.

Stesen berkenaan diwujudkan antaranya untuk mengurangkan kadar kemalangan di lebuh raya dan menguatkuasakan undang-undang lalu lintas menerusi 21 pegawai dan anggota yang ditugaskan di stesen berkenaan.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata implikasi daripada waran tangkap itu, pesalah trafik yang terlibat akan disekat atau dilarang membuat sebarang transaksi dengan JPJ termasuk berkaitan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen memandu.

Sehubungan itu, katanya semua pesalah trafik perlu menyemak status saman di mana-mana pejabat JPJ atau portalnya dan menyelesaikan saman sama ada di pejabat JPJ atau di mahkamah.

Dalam perkembangan berkaitan, Shaharuddin memberitahu JPJ dijangka memasang 4 lagi kamera Awas di kawasan Terowong Menora selepas Tahun Baru Cina ini.

“Selepas operasi Tahun Baru Cina kita akan mengadakan lawatan kerja ke Terowong Menora bagi melihat kesesuaian dan kemungkinan kita akan memasang 4 kamera iaitu sebelum dan selepas terowong di kedua-dua hala yang had kelajuannya tidak melebihi 80 km/j.

“Proses pemasangan kamera ini yang pertama kita (JPJ) perlu membawa agensi lain termasuk Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) untuk melihat kedudukan sesuai untuk diletakkan kamera,” katanya.

Ditanya sama ada pihaknya akan memasang kamera Awas di Jambatan Pulau Pinang, Shaharuddin berkata pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan PLUS.

“Setakat ini kamera diaktifkan di sana dan sebenarnya had laju di jambatan tersebut hanya 80km/j kerana kekuatan jambatan itu hanya boleh menanggung kelajuan itu, kalau lebih laju itu yang boleh terbang tetapi apa-apa pun kita dan PLUS akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sehingga kini, semua 17 kamera Awas beroperasi di seluruh lebuh raya dan merakamkan kesalahan pemandu yang memandu melebihi had kelajuan 110km/j.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.