
Ketua Polis Setiu, Mohd Zain Mat Dris, berkata nahas kira-kira 5.15 pagi tadi membabitkan sebuah bas dipandu lelaki 32 tahun yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala Kota Bharu dan Honda City dipandu lelaki 33 tahun dari arah bertentangan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang datang dari arah Kota Bharu hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian depan bas tersebut.
“Akibat rempuhan itu, pemandu kereta mengalami kecederaan serius iaitu patah tangan dan kaki, manakala pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, mangsa cedera dibawa ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.