
Ketua Polis Muar Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, nahas berlaku kira-kira 1 tengah hari di Jalan Felda Moakil.
Kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke UTHM Pagoh dari Labis, Segamat apabila Honda Accord yang dinaiki kelima-lima penuntut universiti itu hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.
Raiz Mukhliz berkata, Mohd Amir Faizal Hasrolnizam, 21, yang berada di tempat penumpang belakang cedera parah di kepala dan disahkan maut di tempat kejadian.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat, lapor Bernama.
Seorang lagi mangsa, Dameer Amir Mokhzani Aris, 21, dilaporkan cedera serius, manakala tiga lagi, iaitu Ameer Ikhwan Ahmad Nurul Lail, 21; Muhammad Aiman Musa, 21; dan Muhammad Hakimi Hisyamuddin, 21, cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Segamat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTHM menzahirkan ucapan takziah atas pemergian pelajar tahun dua Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik universiti itu.