Populariti Najib atau strategi BN di Cameron Highlands

Populariti Najib atau strategi BN di Cameron Highlands

Tidak pasti Najib Razak terlibat secara langsung atau tidak dalam strategi mengekalkan kemenangan BN di Cameron Highlands, tetapi pendekatan kali ini nampak pelik.

Ya, saya akui populariti Datuk Seri Najib Razak di media sosial semakin meningkat. Mana tidaknya, hari pengadilan padang mahsyar beliau hampir tiba, seperti mana-mana insan yang hampir “mati” secara insaniyahnya pasti akan mula bertaubat dan menghampiri tuhan.

Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor dijadualkan akan mula dibicarakan pada Febuari dan April, walaupun kini peguam bela mereka yang juga terpalit dengan beberapa tuduhan rasuah meminta tangguh tarikh perbicaraan.

Populariti Najib sebenarnya tidak pernah merudum, kerana sejak 2017 beliau dikecam hebat dengan pelbagai isu, rakyat turun membantah dan mengeji mulai dari isu Altantuya Shaariibuu, cukai barangan dan perkhidmatan (GST), 1MDB, pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafei Apdal dan akhirnya beliau teramat popular kerana kekalahan Umno-Barisan nasional dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Cuma kali ini populariti beliau dan boleh juga dikatakan proses keinsafan beliau bukanlah terarah kepada penyesalan dan taubat, akan tetapi beliau bangkit dengan mengatakan beliau dianiaya dan difitnah. Setelah hampir 9 bulan baru ini beliau mendapat kekuatan baru turun bertemu rakyat dan memantau prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Najib bukanlah seorang politikus dungu mahupun bengap. Kebangkitan beliau sekarang saya yakini penuh dengan strategi. Hakikatnya beliau cerdik tetapi malangnya dengan segala kecerdikan dan kesenangan hidup yang dikurnia Allah, beliau gunakan pada jalan yang salah. Akhirnya kempen melabel Najib sebagai penyangak dan pencuri yang dipelopori Tun Dr Mahathir Mohamad membawa PH mentadbir Malaysia.

Pernah dalam satu perjumpaan bersama artis dan karyawan baru-baru ini bertempat di restoren Datuk Khatijah Ibrahim, seorang rakan saya berpeluang bersembang intim dengan Najib. Rakan saya ini memang terkenal dengan kebencian yang meluap-luap terhadap DAP sehingga beliau menamakan sesiapa jua yang bersangka baik dengan DAP adalah “bangsa” DAP.

“Tengoklah, tak sampai setahun PH memerintah bersama DAP isu ICERD timbul, UiTM nak dibuka untuk semua bangsa, bantuan untuk orang Melayu dah dikurangkan..,” celoteh Najib.

Dalam perbualan rakan saya itu, Najib dengan yakin menyatakan beliau ada formula untuk menjatuhkan Kerajaan PH. Tidak lama setelah itu mula tular di media sosial Najib adalah bakal perdana menteri ke-8 kerana PH akan bubar tak lama lagi.

Najib terus mara. Buat pertama kalinya beliau turun berkempen di PRK Parlimen Cameron Highlands setelah beberapa siri kekalahan BN pada PRK yang lalu. Misi BN adalah untuk mempertahankan kemengannya pada PRU14 dengan majoriti 597 undi.

Tidak pasti Najib terlibat secara langsung ataupun tidak dalam menyusun strategi mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Cameron Highlands, tetapi pendekatan BN kali ini ternampak pelik.

Calon BN kali ini memecah tradisi kebiasaan BN apabila calon yang bertanding adalah seorang dari Orang Asli beragama Islam. Orang Asli di Parlimen ini adalah ke-3 tertinggi mengatasi peratusan pengundi berbangsa India. Kemenangan BN selama ini diwakili oleh calon dari wakil India yang akhirnya dibatalkan atas aktiviti merasuah pengundi Orang Asli yang dilaporkan memberi sokongan yang tinggi kepada BN pada PRU14.

Secara mudahnya begini, BN adalah sebuah parti politik yang dipimpin oleh pencuri dan penyangak merasuah pengundi Orang Asli dan kali ini memilih calon yang mewakili kaum yang pernah menerima rasuah.

Tetapi sudah pasti logik ini tidak diambil kira apabila PAS, parti yang berteraskan Islam yang memperjuangkan hukum hudud memotong tangan si pencuri memberi sokongan padu kepada calon BN. Ceramah Datuk Seri Hadi Awang, presiden Pas dihadiri ribuan orang semasa kempen PRK Cameron Highlands baru-baru ini.

Seolah-olah PAS mengeluarkan fatwa tidak mengapa bersekongkol dengan pihak yang memberi dan menerima rasuah.

Seingat saya, Datuk Seri Zahid Hamidi masih lagi menggalas jawatan presiden Umno, tetapi kelibatnya langsung tidak kelihatan di kempen PRK mahupun di mana-mana. Laman sosial instagram beliau hanya menunjukkan beliau membonceng motosikal meniru gaya Najib menghadiri kenduri kahwin dan majlis pengkebumian. Beliau nampaknya benar-benar bercuti mengalahkan ahli Umno yang tidak berjawatan tinggi seperti Najib dan Khairy Jamaluddin.

Seolah-olah PRK kali ini adalah pertembungan antara Najib dan DAP. Najib berkempen mengatakan PH menipu rakyat sehingga beliau menerbitkan sebuah lagu yang terdapat bait lirik yang berbunyi;

…”Harapan setinggi gunung lalu hancur berderai..”

Juga seperti biasa mengingatkan pengundi dan rakyat betapa besar dan jasa beliau dan BN di kawasan Parlimen Cameron Highlands.

PH juga tidak kurang hambar dalam strategi berkempen. Salah guna kuasa dan salah laku petugas mengeruhkan lagi imej PH. Silap-silap jika menang, BN pula akan memfailkan tuduhan rasuah PH di mahkamah dan sekali lagi rakyat akan terpaksa melayan pesta demokrasi dan duit negara dibazirkan.

Memang warga felda marah dan kecewa dengan BN, tetapi kekecewaan mereka tidak terubat apabila kebajikan mereka semasa harga sawit dan getah susut teruk tidak terbela baik oleh kerajaan PH.

Orang Asli pula jangan hendak disalahkan. Ya mereka menerima rasuah dari BN kerana entah mengapa persepsi mereka adalah Cina tanam sayur di Cameron Highlands yang membuatkan hutan dan alam semulajadi di sana musnah. Terjadinya pelbagai bencana alam di Cameron Highlands.

Setelah sekian lama Orang Asli yang keturunan mereka bersama-sama memerangi komunis menganggap DAP adalah sama seperti komunis dahulu. Persepsi mereka inilah yang cuba DAP tangani sehingga Lim Kit Siang sanggup berhari-hari tidur di perkampungan Orang Asli.

Kaum India pula setelah sekian lama menetap di Cameron Highlands yang dahulunya bekerja untuk penjajah British yang membuka kawasan tanah tinggi ini sebagai kawasan peranginan untuk mereka melepas rindu suasana dingin di negara asal mereka, kini kaum India banyak mempunyai perniagaan pelancongan ladang teh, stroberi, resort dan vila mewah. Mereka mengharapkan pembangunan industri pelancongan yang baik tanpa menjejaskan identiti Cameron Highlands sebagai salah satu tarikan pelancongan tertua di Malaysia yang bercirikan tanah tinggi Eropah.

Apa yang berlaku kini adalah kesesakkan teruk, tahap kebersihan yang menjijikan dan pembangunan yang caca-marba di mana banyak apartment dan pusat membeli-belah dibina. Apa yang diperlukan bukan pembangunan begini tetapi yang lestari, mesra alam semulajadi yang dapat mengekalkan ekosistem dan keunikan Cameron Highlands.

Akhirnya, sehari sebelum pengundi mengundi, Dr Mahathir datang berkempen. Kempen beliau adalah kesinambungan kritik keras daripada siri kempen Mohamad Sabu dan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Najib yang dianggap tidak malu dan sedar diri yang sanggup berkempen walaupun sedang terpalit dengan pelbagai tuduhan salah guna kuasa.

Tetapi Dr Mahathir dalam pidatonya sebelum solat Jumaat mengatakan ciri penyangak Najib persis betapa penyangaknya Israel di muka bumi ini. Israel merampas hak dan tanah Palestin, manakala Najib mencuri dan merompak wang rakyat untuk berjoli dan merasuah. Satu kritikan keras lagi berani di ambang hari pengundian.

Memang terbukti pentadbiran Najib meminta bantuan CIA semasa PRU14, Najib sendiri dikritik keras apabila terlihat mesra berbual dengan penyangak nombor 1 dunia, Netanyahu. Datuk Seri Nazir Razak, adik beliau sendiri terlihat dalam dokumentari “Kletocrats” malu dengan apa yang terjadi kepada abang beliau yang mencalarkan imej bapa mereka, Tun Abdul Razak dan ibu mereka Tun Rahah. Nama Najib sekali lagi disebut di dalam kes Altantuya yang dibuka semula.

Tetapi adakah ini semua akan mengubat kekecewaan rakyat terutamanya pengundi di Parlimen Cameron Highlands apabila kerajaan PH terlihat tidak menunaikan janji dan hanya sibuk menyerang Najib dan menyalahkan kerajaan BN.

Keputusan undi esok mungkin mencerminkan emosi rakyat, adalah juga bagusnya jika BN menang dan mempertahankan kemenangan agar menteri dan pemimpin yang angkuh mendapat iktibar sebelum benar-benar terlambat.

Bakal perdana menteri ke-8 Malaysia, Anwar banyak kali mengingatkan “Suara rakyat, suara keramat”.

Luqman Hisyam Che Mazlan ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.