
Oleh itu, beliau berkata, pihaknya memutuskan untuk membawa beberapa penambahbaikan dalam program ditawarkan kolej vokasional kendalian KPM sejajar keperluan semasa dan dasar kerajaan baru.
“Ini termasuklah memastikan setiap program yang ditawarkan memperoleh akreditasi sewajarnya melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), sekaligus meningkatkan tahap kebolehpasaran pelatih kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, langkah penambahbaikan ini sudah dibincang dan diberi pertimbangan mendalam sejak Mei 2018 dan melalui siri perbincangan dengan pelbagai pemegang kepentingan.
“KPM juga telah mengadakan perbincangan bersama ibu bapa dan pelajar-pelajar serta pihak industri mengenai program kolej vokasional. Majoriti pemegang kepentingan menyambut baik hasrat itu untuk membawa penambahbaikan yang relevan demi kepentingan pelajar dan negara.”
Justeru, Amin menjelaskan langkah penambahbaikan ini diambil sejajar syor dan pandangan dikemukakan pelbagai pemegang kepentingan, termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
Di bawah dasar kolej vokasional, Amin berkata, sasaran kementerian ialah menyediakan 70% pelajar sebagai tenaga mahir untuk bekerja di industri, 20% untuk menyambung pengajian, manakala 10% untuk menjadi usahawan.
Pada masa sama, katanya, pihaknya juga mahu memastikan sistem Pendidikan Vokasional yang disediakan berkualiti menerusi penyelarasan dasar pengoperasian, pembangunan prasarana fizikal dan penyediaan fasiliti.
Selain itu, ia juga perlu menyediakan program pengurusan akademik terancang dan efektif untuk kemenjadian murid, pengurusan sumber manusia, kewangan, pentadbiran dan hal ehwal murid yang berkesan, serta pembangunan profesionalisme berterusan yang terancang untuk guru dan pegawai.
Amin berkata, pihaknya menjalankan Transformasi Pendidikan Vokasional pada 2012, dengan menyediakan program peringkat diploma untuk memberi peluang kepada murid yang mempunyai kecenderungan dalam bidang kemahiran dan teknologi bagi memenuhi tenaga kerja dalam bidang industri negara.
“KPM berpandangan selepas 7 tahun program peringkat diploma kolej vokasional diperkenalkan, sudah tiba masanya program-program yang ditawarkan di kolej vokasional memberi keutamaan kepada standard pendidikan yang tinggi, selaras hasrat melahirkan pelatih berkualiti tinggi.”
Dalam pada itu, Amin menjelaskan tanggapan atau dakwaan sesetengah pihak yang program tertentu ditutup atau dihentikan, tidak tepat sama sekali.
Sebaliknya, beliau berkata, sejumlah program terbabit ditangguh sementara bagi tujuan semakan semula kurikulum untuk memenuhi keperluan akreditasi MQA (Akademik-Pendidikan Berasaskan Hasil) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (Kemahiran-Latihan Kemahiran).
Katanya, ia untuk memastikan program ditawarkan bermutu dan berkualiti serta dapat dibawa ke tahap lebih tinggi bagi memenuhi permintaan industri.
“Hasrat KPM bagi memastikan persijilan dan piawaian industri dipatuhi dan dijadikan rujukan utama dari aspek kebolehpasaran, peningkatan kemahiran dan penambahbaikan kurikulum,” katanya.