Redzuan tolak dakwaan mahukan jawatan Muhyiddin, Mahathir

Redzuan tolak dakwaan mahukan jawatan Muhyiddin, Mahathir

Laporan Malaysiakini memetik sumber yang mendakwa wujud komplot untuk menjatuhkan beliau sebagai pengerusi PPBM Melaka.

Redzuan Yusof.
PETALING JAYA:
Pemimpin PPBM, Datuk Seri Redzuan Yusof menolak laporan mendakwa beliau menyasarkan jawatan tertinggi parti itu, termasuk jawatan pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ini karut, tidak masuk akal dan tidak layak dijawab,” kata menteri pembangunan usahawan itu kepada FMT, apabila diminta memberi respons terhadap laporan Malaysikini yang memetik sumber yang mendakwa wujud komplot untuk menjatuhkan beliau sebagai pengerusi PPBM Melaka.

Portal berita itu, yang memetik sumber daripada Majlis Pimpinan Tertinggi parti berkata, pemimpin bahagian PPBM di Melaka, melalui “undi rahsia”, mahu Redzuan disingkirkan daripada jawatan pengerusi negeri berkenaan.

Laporan itu menyebut, “pemberontak” terbabit mahu anggota exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dilantik sebagai pengerusi negeri dengan mendakwa bahawa mereka tidak berpuas hati dengan keputusan Redzuan mengetepikan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hasan sebagai penyelaras Dewan Undangan Negeri Ayer Limau.

“Malah beliau cuba berkempen dalam Majlis Pimpinan Tertinggi supaya menempatkan dirinya sebagai pengganti Muhyiddin sebagai presiden dan menyasarkan jawatan Dr Mahathir,” portal itu memetik sumber yang tidak dinamakan.

Bagaimanapun Redzuan berkata, dakwaan bahawa beliau bercita-cita mahu menggantikan Dr Mahathir dan Muhyiddin Yassin adalah “terlalu tidak masuk akal untuk dijawab”.

“Kesetiaan saya kepada Dr Mahathir dan Muhyiddin boleh dilihat dengan jelas. Anda boleh teliti semua kenyataan saya,” katanya kepada FMT.

Redzuan berkata, beliau menumpukan perhatian kepada usaha menunaikan tanggungjawab kementeriannya selain memperkuatkan parti.

“Sekarang masa untuk bersatu, bukannya membuat dakwaan berniat jahat begitu, terutama sekali sewaktu Pakatan Harapan (PH) baru sahaja mengalami kekalahan pertamanya dalam pilihan raya kecil (PRK),” tambah beliau, merujuk kepada kekalahan PH dalam PRK Cameron Highlands.

Beliau berkata, sekiranya wujud perbezaan pandangan dalam parti, ia boleh diatasi secara dalaman, bukannya “melalui sumber palsu menggunakan media”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.