
Majistret Ahmad Farid Ahmad Kamal memutuskan demikian selepas tertuduh Faizal Jumari, 32, mengaku salah atas pertuduhan berkenaan, yang mana jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara selama 4 bulan.
Tertuduh kemudian membayar denda terbabit.
Menurut fakta kes, kegiatan tertuduh terbongkar apabila 3 pegawai jabatan itu menemukan 14 ekor lembu hidup ketika membuat pemeriksaan terhadap sebuah lori yang ditahan di tepi jalan KM J262, Jalan Kulai – Kota Tinggi, jam 5 petang, 15 Nov tahun lepas.
Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh gagal mengemukakan perakuan kebenaran pindah yang sah daripada pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor atau mana-mana wakil pihak berkuasa veterinar.
Dia didakwa di bawah Seksyen 36 (7) Akta Binatang 1953, Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM15,000 jika sabit kesalahan.
Terdahulu, dalam rayuannya, Faizal yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan memandangkan ini kesalahan pertama selain tidak mengetahui keperluan lesen untuk membawa lembu.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor, Mohd Faiz Ajis meminta mahkamah memgenakan hukuman berat kerana kes tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana keperluan perakuan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar amat penting kerana haiwan yang dibawa berisiko membawa penyakit.
“Johor juga bersempadan dengan Singapura dan ini boleh menjejaskan aktiviti dagangan ke negara tersebut jadi saya mohon hukuman berat sebagai pengajaran,” katanya.