Lelaki buang puntung rokok di tempat awam didenda RM1,500

Lelaki buang puntung rokok di tempat awam didenda RM1,500

Mahkamah turut memerintahkan buruh itu menjalani khidmat masyarakat selama empat jam dalam tempoh sebulan.

cigarette
Ajmal Haziq Zulkarnain didakwa membuang puntung rokok di hadapan sebuah restoran di Bukit Bintang pada 10.39 malam, 1 Jan lalu. (Gambar Envato Elements)
KUALA LUMPUR:
Seorang buruh didenda RM1,500 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah membuang puntung rokok di tempat awam, bulan lalu.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Ajmal Haziq Zulkarnain, 30, selaku orang kena saman (OKS) dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan OKS menjalani khidmat masyarakat selama empat jam dalam tempoh sebulan.

Lelaki itu didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam atau jalan awam dan bukan dalam bekas yang diperuntukkan bagi membuang sisa pepejal tersebut, di hadapan sebuah restoran di Bukit Bintang, pada 10.39 malam, 1 Jan lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 dan sebagai tambahan, boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat tidak melebihi 12 jam secara agregat dalam tempoh maksimum enam bulan dan selama bilangan jam tertentu setiap hari tidak melebihi empat jam sebagaimana dinyatakan dalam perintah itu.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), A’ala Shah Md Yusop, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS dan orang awam tentang kepentingan menjaga kebersihan di tempat awam.

Bagaimanapun, Ajmal yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan selain mengakui kesalahan dilakukannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.