Atlet Olimpik cabar JMB kondominium larang bela haiwan

Atlet Olimpik cabar JMB kondominium larang bela haiwan

Noraseela Khalid berkata badan pengurusan bersama itu melampaui kuasanya bawah Akta Pengurusan Strata 2013.

shah alam court
Noraseela Khalid memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam mencabar larangan menyeluruh terhadap haiwan peliharaan yang dikenakan oleh badan pengurusan bersama kondominiumnya.
PETALING JAYA:
Atlet Olimpik Noraseela Khalid memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap badan pengurusan bersama (JMB) kondominiumnya untuk mencabar peraturan rumah yang mengenakan larangan menyeluruh terhadap haiwan peliharaan.

Noraseela, yang tinggal di Shang Villa Condominium, memohon mahkamah mengisytiharkan peraturan tersebut, dikenali sebagai House Rule 9.0, melangkaui kuasa JMB di bawah Seksyen 70 dan 150 Akta Pengurusan Strata 2013 (SMA).

Dia mahu mahkamah mengisytiharkan walaupun JMB boleh mengawal selia pemeliharaan haiwan, ia tidak boleh mengenakan larangan penuh atau mutlak.

Noraseela juga memohon mahkamah mengisytiharkan peraturan rumah itu bercanggah dengan undang-undang sedia ada yang membenarkan haiwan peliharaan di bawah peraturan munasabah, dan oleh itu adalah terbatal, tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Noraseela Khalid
Noraseela Khalid.

Noraseela turut memohon agar diputuskan mana-mana peraturan rumah atau undang-undang kecil yang tidak selaras dengan Seksyen 70 SMA adalah tidak boleh dikuatkuasakan.

Dia tidak menuntut kos dan menyifatkan kes ini sebagai perkara berkepentingan awam.

Saman pemulanya difailkan pada 26 Jan oleh Messrs Raj & Sach di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan disebut untuk pengurusan kes pada Selasa.

Peguam Rajesh Nagarajan berkata mahkamah telah mengarahkan firmanya menyerahkan secara rasmi dokumen berkaitan kepada JMB bagi membolehkan pihak itu memberi maklum balas.

“Satu lagi pengurusan kes telah dijadualkan pada 4 Mac,” katanya kepada FMT.

Dalam afidavit sokongan, Noraseela berkata dia memelihara tiga ekor kucing yang telah divaksin di dalam rumah dan tambahnya, haiwan terbabit tidak pernah menimbulkan gangguan, bahaya atau kacau kepada penduduk lain.

“Setakat pengetahuan saya, tiada aduan dibuat terhadap saya berkaitan kucing-kucing saya,” menurut afidavit tersebut.

Walaupun begitu, Noraseela berkata dia menerima amaran dan denda berulang kali daripada JMB yang enggan dibayarnya dan pada 19 Jan, kenderaannya dihalang daripada memasuki kawasan kondominium.

“Tindakan responden telah menyebabkan kesusahan kepada saya dan mengganggu hak saya untuk menikmati unit saya secara sah,” katanya.

Menurutnya, larangan menyeluruh itu melampaui kuasa JMB di bawah SMA 2013, khususnya Seksyen 70 dan 150, yang tidak membenarkan pengharaman terus terhadap haiwan peliharaan.

Noraseela juga merujuk Undang-undang Kecil 14 dalam jadual ketiga Peraturan-peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan & Pengurusan) 2015, yang membenarkan pemeliharaan haiwan tertakluk kepada syarat munasabah bagi mencegah gangguan.

Afidavit itu juga menyatakan peraturan tersebut melanggar hak perlembagaannya, termasuk Perkara 8 mengenai kesamarataan di sisi undang-undang dan prinsip perkadaran, serta Perkara 13 mengenai perlindungan harta, kerana larangan itu dikenakan secara menyeluruh tanpa bukti gangguan atau mudarat.

Noraseela juga memfailkan saman terhadap kerajaan Selangor dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), mencabar larangan menyeluruh terhadap anjing di unit apartmen.

Dalam kes itu, dia berhujah Undang-undang Kecil Pelesenan Anjing dan Penubuhan Rumah Anjing MBPJ 2007 bercanggah dengan undang-undang persekutuan, termasuk Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Pengurusan Strata.

Seksyen 8(2) undang-undang kecil MBPJ tersebut melarang penduduk memelihara anjing di unit apartmen di bawah bidang kuasa MBPJ.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.