Proses jual Equanimity mungkin 24 bulan, kata firma broker

Proses jual Equanimity mungkin 24 bulan, kata firma broker

Firma broker Burgess yang mengurus penjualan Equanimity berkata, kapal layar mewah itu hanya berada di pasaran selama 3 bulan.

Equanimity kini berlabuh di Langkawi.
PETALING JAYA:
Biasanya ia mengambil masa dari 12 ke 24 bulan untuk menjual kapal layar seperti Equanimity, kata ketua pegawai eksekutif Burgess, Jonathan Beckett dalam satu temu bual dengan majalah perkapalan, Barche Magazine.

Beliau menjawab soalan kenapa masa yang diambil untuk menjual kapal layar mewah yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversial Low Taek Jho, atau Jho Low itu terlalu panjang.

Berckett berkata, kapal layar sepanjang 91.5 meter itu, yang kini dilabuhkan di Langkawi, hanya berada di pasaran selama 3 bulan. Firma broker Burgess mengurus jualan itu.

“Menjual kapal layar dalam sektor ini bukanlah satu proses yang cepat. Hanya terdapat 1-2 kapal layar dengan nilai sedemikian dijual di seluruh dunia setiap tahun.

“Jadi tempoh masa itu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana secara rasmi kapal layar tersebut hanya berada di pasaran bermula penghujung Oktober tahun lepas.”

Barche Magazine diterbitkan oleh pakar perkapalan dan navigasi, yang menawarkan nasihat teknikal mengenai pembelian bot, pengurusan dan penyelenggaraan serta berita pelabuhan.

Beckett juga menjelaskan rasional perubahan proses menjual Equanimity daripada “proses bidaan tertutup” kepada “proses triti persendirian”.

Katanya, fasa pertama, iaitu proses bidaan tertutup berakhir pada November 2018 dan merupakan fasa yang perlu mengikut Undang-undang Admiraliti untuk melepaskan hak milik barangan kepada pembeli berikutan pembeliannya.

“Jika pada fasa itu bidaan yang dibuat memenuhi syarat mahkamah, maka tentulah kami gembira melihat Equanimity dijual.

“Bagaimanapun bidaan yang diterima adalah lebih rendah daripada nilai kapal layar itu yang ditetapkan oleh penilai bebas profesional.

“Sebaik sahaja fasa wajib bidaan tertutup tamat, mahkamah boleh beralih kepada format jualan triti persendirian yang lebih lazim.

“Ini merupakan proses jualan standard kapal layar mewah yang diketahui oleh semua pemegang taruh kapal layar sedemikian.

“Tawaran baru boleh dibuat pada bila-bila masa untuk pertimbangan dan respons mahkamah.”

Beckett berkata, harga panduan sebanyak AS$130 juta (RM532 juta) ditetapkan selepas penilaian rasmi dibuat oleh firma perunding, Winterbothmans Ltd berikutan pemeriksaan penuh ke atas kapal layar tersebut.

Ditanya tentang keadaan Equanimity, Beckett berkata, ia diselenggara dengan baik oleh 21 kru profesional yang dipantau oleh firma pakar pengurusan kapal layar.

“Kapal layar ini banyak belayar sejak pelancarannya dan sangat sedikit dilabuhkan.

“Jadi ia memerlukan sedikit masa di dermaga dan dicat baru. Selain itu keadaannya baik,” tambahnya.

Equanimity mempunyai 11 kabin yang boleh menempatkan 22 penumpang. Ia mempunyai badan kapal kelas-ais dan sebuah helipad bertauliah yang membolehkan ia belayar ke semua tempat di dunia.

Ia juga mempunyai pelbagai kemudahan lain, termasuk kelab pantai dan spa.

Kapal layar mewah itu dibawa ke Malaysia pada 7 Ogos tahun lepas setelah diserahkan oleh pihak berkuasa Indonesia.

Equanimity ditahan di perairan Bali pada Februari atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat berikutan penyiasatan dakwaan rasuah yang dilancarkan oleh Jabatan Kehakiman AS ke atas 1MDB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.