Kebakaran Gunung Baling semakin merebak

Kebakaran Gunung Baling semakin merebak

Bomba tidak menolak kemungkinan punca kebakaran disebabkan oleh aktiviti pendakian.

(Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Keadaan angin kencang menyebabkan keluasan kawasan kebakaran di Gunung Baling merebak dari 2.4 hektar pada awal hari ini, kepada lebih 2.8 hektar lewat petang ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Mohd Jamil Mat Daud berkata operasi memadam dan mengawal api yang bermula seawal 8 pagi tadi dihentikan sementara pada 5.30 petang ini, dan akan disambung semula pagi esok.

“Kebakaran yang bermula sejak petang semalam itu merebak, bagaimanapun kita berjaya mengawal api daripada terus merebak ke kawasan lebih luas dan kebakaran di laluan pendakian juga sudah berjaya dipadamkan.

“Pagi esok kita akan gunakan helikopter untuk bantu proses memadamkan api,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata 14 anggota bomba yang turut dibantu lebih 50 anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasa termasuk malim gunung terlibat dalam proses memadam api hari ini.

Katanya punca kebakaran masih belum diketahui, namun pihak bomba tidak menolak kemungkinan ia disebabkan oleh aktiviti pendakian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.