
William Bourdon berkata, butiran akaun bank milik Terasasi (Hong Kong) Ltd dapat membantu penyiasat mencari pihak yang menerima sogokan didakwa berjumlah AS$130 juta bagi perjanjian kapal selam itu.
“Inilah bahagian yang hilang, lohong hitam dari segi bukti,” katanya dalam sidang media hari ini.
Pihak berkuasa Perancis berkata, syarikat itu milik Abdul Razak Baginda yang merupakan pembantu bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Bourdon yang diusir kerajaan Barisan Nasional pada 2011 berharap pihak berkuasa Hong Kong akan membantu penyiasat Perancis.
Katanya, beliau akan menemui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.
Seorang lagi peguam terbabit dalam siasatan itu, Apoline Cagnat berkata terdapat bukti wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang terbunuh pada 2006, turut terbabit dalam perjanjian Scorpene.
Katanya, Altantuya berperanan sebagai penterjemah dalam rundingan Scorpene.
“Peranannya dalam rundingan itu perlu disiasat, tetapi namanya timbul.”