Pengguna media sosial berang program kesedaran ‘kunyit’ dalam majalah sekolah

Gambar halaman majalah sekolah menunjukkan program kesedaran gender untuk pelajar ‘kunyit’. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Pengguna media sosial berang selepas tersebar sekeping gambar yang kelihatan seperti halaman dalam sebuah majalah sekolah yang memperincikan gender “kunyit”, merujuk lelaki “lembut” melalui program kesedaran gender.

“Kunyit” adalah perkataan menghina yang merujuk kepada lelaki gay.

Gambar yang tular di Twitter itu menunjukkan maklumat program sepanjang 2017 termasuk sesi kaunseling kumpulan dan individu untuk 15 “pelajar lembut”.

Matlamat program itu adalah untuk membina jati diri pelajar sebagai lelaki, menjadikan pelajar lebih bermatlamat, membantu pelajar membina keyakinan diri dan meningkatkan kesedaran mereka.

Ia juga bertujuan untuk menyedarkan pelajar tentang kelemahan sebagai golongan “kunyit” dan membuat pelajar lain menyedari kelemahan yang sama dalam diri mereka.

Pengguna Twitter @cherane, yang menyiarkan gambar itu 2 minggu lalu, mendakwa ia berasal dari sebuah sekolah menengah terkenal di Kota Kinabalu, Sabah. Bagaimanapun, kesahihan gambar itu tidak dapat dipastikan.

FMT menghubungi sekolah berkenaan tetapi belum menerima maklum balas. FMT juga mendapatkan Kementerian Pendidikan dan Timbalan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jenifer Lasimbang untuk mendapatkan komen.

Pengguna Twitter yang lain mempersoalkan jika program itu dipersetujui oleh sekolah dan sama ada Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah menyedarinya.

“Mak ayah mana yang bagi ‘consent’ anak-anak dia masuk majalah atau program pemulihan anti kunyit ni?” soal @AwkwardLlama3, merujuk kepada gambar 8 budak lelaki di bahagian “gambar aktiviti”.

Sementara itu, @cherane berkata: “Ini adalah benar. Sesetengah mungkin mengatakan ini adalah apa yang perlu dilakukan. Tetapi saya fikir anak-anak akan menjadi lebih baik dengan menyembunyikan diri mereka.

“(Ia) seperti kita memberitahu mereka bahawa mereka tidak boleh diterima dalam masyarakat. Bahawa nilai mereka berkaitan bagaimana mereka seharusnya menjadi ‘lelaki’,” katanya, sambil menambahkan hashtag #CampurLGBT yang merujuk kepada kempen online pro-LGBT.

Pengguna Twitter @ybzulaklil bagaimanapun mempertahankan program tersebut, mengatakan ia bukan sebuah kelab dan ada sebab untuk mengadakan program seumpama itu.

Beliau mendakwa ramai “pelajar lembut” di sekolah menjadi transgender setelah tamat persekolahan.

“Saya ada dengar mengenai program ini dan ia berjalan lancar. Tetapi sehinggalah seseorang memuat naik dan menimbulkan macam-macam komen netizen yang tidak tahu menahu asal tujuan program ini.”

FMT difahamkan pengarah pendidikan Sabah sedang menyiasat isu itu.

Pautan pada Twitter dan gambar yang dilaporkan.