Murid cuci tandas: Ibu bapa cadang pendekatan sesuai dan mendidik

Murid cuci tandas: Ibu bapa cadang pendekatan sesuai dan mendidik

Pelaksanaan arahan perdana menteri haruslah memupuk nilai dan tanggungjawab bagi mencapai objektif membentuk sahsiah.

Kumpulan ibu bapa berkata tugas membersihkan tandas tidak seharusnya menjadi tanggungjawab utama murid. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Pelaksanaan jadual mencuci tandas dalam kalangan murid haruslah memupuk nilai kebersihan, tanggungjawab dan disiplin, bukannya menggantikan peranan pekerja pembersihan.

Kumpulan ibu bapa berkata, tugas membersihkan tandas tidak seharusnya menjadi tanggungjawab utama murid, mengatakan penglibatan mereka perlu dihadkan kepada aktiviti ringan, selamat dan bersifat mendidik seperti menjaga kebersihan persekitaran dan penggunaan tandas yang betul.

“Pendekatan lebih sesuai ialah melalui pendidikan kesedaran, amalan harian yang baik serta program gotong-royong berkala yang dipantau pihak sekolah.

“Ini dapat mencapai objektif membentuk sahsiah murid tanpa menjejaskan kebajikan mereka,” kata Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka, Mak Chee Kin.

Katanya, aspek keselamatan dan kesihatan murid perlu diberi keutamaan sepanjang pelaksanaan.

“Penggunaan bahan kimia, kerja pembersihan yang berat atau berisiko tinggi tidak sesuai diberikan kepada murid, terutama di peringkat sekolah rendah,” katanya.

Kumpulan ibu bapa mengulas arahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya semua sekolah menyediakan jadual mencuci tandas melibatkan pelajar dalam memastikan kebersihan tandas, dan perlu dimulakan minggu depan.

Anwar berkata, Kolej Melayu Kuala Kangsar ketika beliau belajar di situ mempunyai jadual giliran untuk cuci tandas asrama dan sekolah melibatkan setiap kelas.

Katanya, jadual mencuci tandas melibatkan pelajar turut diamalkan di Jepun.

Selain memastikan kebersihan tandas, Anwar berharap langkah itu membentuk jati diri murid dan melatih mereka menghormati pekerja pembersihan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.