TMJ, Anwar ucap tahniah sempena Ulang Tahun Keputeraan Agong

TMJ, Anwar ucap tahniah sempena Ulang Tahun Keputeraan Agong

Anwar Ibrahim mendoakan Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong dan seluruh kerabat diraja dikurnia keafiatan berpanjangan serta sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah.

Hari ini merupakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Anwar bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia mendoakan Seri Paduka Baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dan seluruh kerabat diraja dikurniakan keafiatan berpanjangan serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah.

“Semoga Baginda Tuanku kekal qarar memayungi negara dengan adil dan saksama, serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara ini.

“Patik dan sekalian rakyat akan terus menzahirkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan. Dirgahayu Tuanku,” tulis Anwar dalam catatan Facebook.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail turut merafak sembah merakamkan ucapan dan doa kepada Sultan Ibrahim.

“Allah peliharakan Sultan. Daulat Tuanku,” titah baginda ringkas dalam ucapan kepada paduka ayahanda yang dimuat naik ke Facebook HRH Crown Prince of Johor.

Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi turut merafak sembah dan merakamkan ucapan tahniah serta doa kepada Sultan Ibrahim.

“Sembah takzim daripada patik dan seluruh Bangsa Johor. Allah Peliharakan Sultan, Allah Berkati Johor,” katanya dakam hantaran di Facebook.

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof juga merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim.

“Semoga Duli Tuanku terus kekal qarar bersemayam di atas singgahsana takhta pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kemuliaan serta memayungi rakyat dan memimpin negara dengan penuh hikmah, adil dan bijaksana,” katanya dalam catatan Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.