Perlu ada peraturan, SOP bagi khidmat doula, kata menteri kesihatan

Dzulkefly Ahmad berkata, khidmat doula mempunyai kebaikannya, tetapi ia perlu dikawal selia dengan peraturan dan SOP bagi mengelakkan berlaku kemudaratan.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan mengadakan perbincangan dengan doula atau peneman ibu bersalin berhubung peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan timbul kejadian tidak diingini pada masa depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad mahu khidmat doula dipantau melalui proses pemerhatian dan pengurusan baik.

“Ramai yang belum faham dengan khidmat doula, jadi kami akan mengambil peranan dan berbincang secara langsung dengan mereka.

“Khidmat doula kena ada peraturan, kita tidak mahu ia akhirnya menjejaskan kesihatan dan nyawa seseorang.

“Ada sisi kebaikannya, tetapi jangan sampai ia diatasi dengan kemudaratan, ia mesti dilakukan dengan bertanggungjawab atau mempunyai SOP tertentu.

“Kita perlu memperkembangkan kebaikan doula, dengan cara ini, masyarakat lebih bertamadun dan bertanggungjawab,” katanya selepas menghadiri persidangan Jawatankuasa Minyak dan Makanan kali ke-26, hari ini.

Baru-baru ini, isu doula hangat diperkatakan selepas Perunding Perbidanan dan Sakit Puan Universiti Malaya, Prof Dr Imelda Balchin menemui wakil doula, Hayati Muzaffar di sebuah stesen televisyen untuk membincangkan keperluan khidmat itu di negara ini.

Perkhidmatan itu dianggap berbahaya kerana risiko kematian ibu atau bayi yang baru bersalin lebih tinggi berbanding menggunakan khidmat bidan bertauliah.

Setakat ini, tiada pemantauan atau kursus khas untuk doula, malah perkhidmatan itu tidak berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan.