Calon PH ulangi ikrar bina hospital di Semenyih, selepas ditolak menteri

Calon PH ulangi ikrar bina hospital di Semenyih, selepas ditolak menteri

Menteri kesihatan menganggap rancangan membina sebuah hospital di Semenyih tidak munasabah, sebaliknya pembinaan sebuah klinik kesihatan lebih wajar untuk menambah baik 2 klinik kesihatan di pekan Semenyih dan Beranang yang usang.

Muhammad Aiman Zainali berkata, hospital merupakan keperluan bagi penduduk Semenyih dan rancangan itu boleh bermula dengan pembinaan sebuah lagi klinik kesihatan di sana.
SEMENYIH:
Calon Pakatan Harapan bagi pilihan raya kecil Semenyih, Muhammad Aiman Zainali mengulangi ikrar untuk memperjuangkan pembinaan sebuah hospital bagi keperluan penduduk setempat, walaupun selepas ditolak Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

“Kita bermula mungkin dengan klinik kesihatan, kemudian kita akan bawa ke depan hal hospital.

“Kita akan perjuangkan kerana itu yang diperlukan rakyat Semenyih,” katanya selepas melawat pusat pengundian awal di Kem Batalion PGA Semenyih, hari ini.

Dzulkefly sebelum ini dilaporkan berkata, rancangan membina hospital di Semenyih tidak munasabah, walaupun penduduk setempat perlu berulang-alik ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan.

Semalam, Dzulkefly mengulangi cadangan membina sebuah lagi klinik kesihatan di Semenyih dalam usaha menambah baik kemudahan 2 klinik kesihatan sedia ada di pekan Semenyih dan Beranang yang usang.

Aiman turut berikrar memanfaatkan baki 3 hari tempoh berkempen sebaik mungkin untuk memastikan PH dapat mempertahankan kerusi Semenyih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.