Halangan keluarga, isteri pertama punca rakyat Malaysia nikah di selatan Thai, kata ejen

Ejen nikah akan mengenakan caj lebih tinggi kepada rakyat Malaysia yang hendak bernikah tanpa kebenaran dengan warganegara lain kerana prosesnya lebih rumit.

ALOR SETAR: Halangan keluarga atau isteri pertama menjadi penyebab utama sebilangan rakyat Malaysia bernikah di luar negara, khasnya selatan Thailand.

Itu pendedahan ejen yang menawarkan khidmat menguruskan pernikahan di negara jiran itu.

Ejen nikah itu yang hanya dikenali sebagai Shed berkata, selain menguruskan perkahwinan, beliau juga membantu menguruskan proses penceraian pasangan bernikah di sana.

Tinjauan mendapati walaupun ada halangan seumpama itu, jumlah rakyat Malaysia yang bernikah di selatan Thailand terus meningkat.

Bernama melaporkan kes pasangan dari Kedah yang bernikah tanpa kebenaran pihak berkuasa agama negeri, di Thailand terus meningkat kepada 799 kes tahun lalu daripada 566 kes pada 2017.

Angka ini diberikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Ismail Salleh yang menyatakan jumlah itu merangkumi kesalahan pernikahan dan berpoligami tanpa kebenaran.

Mengenai khidmat yang ditawarkan, Shed berkata, kadar dikenakan kepada setiap pasangan berbeza antara RM1,800 hingga RM4,000 bergantung kepada beberapa faktor dan kerumitan proses.

“Kalau mereka berdekatan Kedah, saya ambil dalam RM1,800 untuk nikah biasa yang mudah, tetapi ada yang cecah RM2,800. Orang luar (dari Kedah) seperti dari Johor, Melaka, Pahang dan Terengganu, saya ambil dalam RM2,200 hingga RM4,000.

“Kalau urusan rumit, contoh orang itu dah pernah nikah di Siam, tapi tak daftar di sini lagi, jika bercerai, pasangan kena batalkan pernikahan itu di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di sana dulu, baru boleh menikah lagi,” katanya kepada Bernama.

Shed berkata, jika rakyat hendak bernikah tanpa kebenaran dengan warganegara lain seperti Indonesia dan Singapura, prosesnya akan menjadi lebih rumit dan dikenakan caj lebih tinggi.

Mengulas proses pernikahan di Thailand, katanya, terdapat 2 pusat nikah yang diiktiraf, iaitu Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla dan Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat.

“Saya akan bawa orang yang menggunakan khidmat saya ke mana-mana satu pusat nikah ini. Kalau hendak bernikah luar dari pusat nikah itu, ini mesti dilakukan di masjid dan jurunikahnya ialah imam yang dilantik pejabat agama Islam sana sahaja.”

Beliau berkata, akad nikah boleh diragui, jika ia dilakukan di luar pusat nikah itu atau dilaksanakan jurunikah tidak dilantik pejabat agama Islam di sana atau tidak berdaftar dengan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia.

Katanya, selepas dinikahkan, pasangan suami isteri terbabit perlu mengambil Surat Pengesahan Perkahwinan di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia bagi membolehkan mereka mendaftarkan pernikahan mereka di pejabat agama Islam negara ini.

Shed berkata, sepanjang 11 tahun menjadi ejen nikah di selatan Thai, kebanyakan mereka yang mendapatkan khidmatnya terdiri daripada golongan pertengahan yang bekerja sebagai guru, jurutera kilang, kerani, pegawai kerajaan dan pekerja swasta.