
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 11 hingga 13 tahun lalu di cawangan Bank UBS di Hong Kong dan Singapura.
Bagi pertuduhan pertama, Musa didakwa mengarahkan seorang individu bernama Richard Christopher Barnes membuka satu akaun bank dengan UBS AG di Singapura, pada 21 Jun 2016.
Satu pertuduhan alternatif daripada pertuduhan pertama mendakwa akaun bank yang dibuka Barnes bertujuan menyembunyikan dana haram daripada Musa.
Bagi pertuduhan ke-2 hingga 15, Musa didakwa menerima lebih AS$37 juta daripada beberapa individu dan syarikat antara Jun 2006 dan Mac 2008.
Wang itu didakwa dimasukkan ke akaun Barnes, dengan jumlah paling banyak diterimanya ialah AS$16.15 juta.
Bagi pertuduhan ke-16, Musa didakwa mengarahkan Barnes memindahkan semua aset dan aliran masuk wang yang akan datang, dari akaun Barnes ke akaunnya di Switzerland. Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 14 Mei 2008.
Jika sabit kesalahan, Musa yang didakwa di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, boleh dipenjara 5 hingga 15 tahun.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub, hari ini.
Musa dibenar menggunakan jaminan RM2 juta yang dibayar bagi 35 pertuduhan rasuah terdahulu.
Susulan pendakwaan hari ini, Musa kini berdepan 51 pertuduhan.
Pada 5 November lalu, Musa mengaku tidak bersalah terhadap 35 pertuduhan rasuah berhubung konsesi balak di Sabah berjumlah AS$63,293,924 (RM263,460,962.313).
Bagi semua pertuduhan itu, Musa didakwa memperoleh rasuah daripada 8 pemilik syarikat konsesi balak dan dia dituduh melakukan kesalahan itu di 8 institusi kewangan di Hong Kong dan Singapura antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008.