“Perkahwinan” antara Umno dan PAS harus dibaca bersekali dengan penceraian Umno dengan 2 isterinya sebelum ini – MCA dan MIC.
Tidak kisahlah jika perpecahan Barisan Nasional benar atau hanya drama, Umno dan PAS telah menyerang Pakatan Harapan (PH) dari sayap Melayu, manakala MCA dan MIC menyerang dari sayap bukan-Melayu.
Serangan dalam konteks etnik ini membuktikan dasar “bumi hangus” sedang giat digunakan. “Bumi hangus” ialah dasar yang merujuk kepada strategi menghapuskan semuanya untuk menang dalam apa jua keadaan.
Perbuatan kejam seperti ini sudah tentu akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung berat keperitan tersebut.
Sasaran mereka adalah untuk memastikan Malaysia sukar ditadbir oleh PH kerana kerajaan yang dipilih oleh rakyat terpaksa berhadapan dengan serangan kemarahan etnik daripada kedua-dua pihak, iaitu orang Melayu dan bukan-Melayu.
Permintaan kedua-dua belah pihak sudah tentu akan bercanggah, seterusnya menyebabkan keadaan terus bertambah tegang.
Objektif “serangan sayap” ini adalah untuk membuatkan orang Melayu dan bukan-Melayu berasa lemah dan serba kekurangan. Semuanya akan dibentangkan sebagai permasalahan etnik binari.
Selain itu, serangan ini bertujuan untuk memecahkan gabungan pelbagai etnik PH dari dalam kerana sukar bagi golongan politik beraliran sederhana untuk bertahan akibat tuntutan yang bercanggah daripada kedua-dua pihak itu.
Perkahwinan Umno dan PAS telah membenarkan kewujudan pakatan perkauman baru untuk mencorakkan keburukan kepada rakyat Malaysia yang bukan-Melayu dan bukan-Islam.
Mereka tidak perlu berpura-pura untuk menjadi parti “moderate” atau sederhana sejak MCA dan MIC bukan lagi sekutu rasmi mereka.
Pada masa yang sama, MCA dan MIC juga bebas untuk mengapi-apikan politik perkauman.
Dalam keadaan ini, PH tidak akan berjaya menonjolkan imej yang lebih “Melayu” daripada Umno, lebih “Islam” daripada PAS, lebih “Cina” daripada MCA dan lebih “India” daripada MIC.
Tetapi, masih ada harapan cerah dalam kegelapan politik ini.
Malaysia mempunyai potensi besar jika rakyatnya bersatu demi masa hadapan semua.
Bagi memastikan usaha Malaysia Baru ini berjaya, PH perlu bangkit sebagai gerakan rakyat. Masyarakat yang telah keluar mengundi pada 9 Mei 2018 tidak harus berpeluk tubuh sekarang.
Hakikatnya, perjuangan kita masih belum selesai.
Rakyat Malaysia yang masih yakin bahawa Malaysia tidak seharusnya dipecahkan berdasarkan perkauman adalah mereka yang percaya pilihan raya umum ke-14 merupakan titik permulaan untuk membina kesejahteraan dan keamanan untuk semua.
Rakyat yang mahukan Malaysia berdiri teguh di mata dunia, semua perlu berganding bahu dan membentuk satu gerakan untuk menangkis strategi gerakan Umno-PAS dan MCA-MIC yang berbaur perpecahan dan perkauman.
Selain kebanyakan rakyat di Semenanjung Malaysia, saya memahami saudara kita di Sabah dan Sarawak, biar Muslim mahupun bukan-Muslim, berpadangan jauh ke arah Malaysia Baru yang inklusif, prihatin, dan murah hati: negara yang menolak pelampau agama dan menggalakkan perpaduan.
Kedua-dua Umno-PAS dan MCA-MIC cuba untuk menyemarakkan api perkauman, sementara gerakan PH pula mewakili keamanan, kekuatan spiritual, toleransi antara agama, kesejahteraan, mobiliti sosial, dan kemajuan untuk semua.
Liew Chin Tong adalah timbalan menteri pertahanan.
Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.