Pesara polis perjuang hak wanita, kanak-kanak didera

Pesara polis perjuang hak wanita, kanak-kanak didera

Ong Chin Lan memainkan peranan penting dalam penubuhan CIC yang menjayakan kebanyakan kes penderaan seksual dalam kalangan kanak-kanak.

Ong Chin Lan berharap lebih ramai wanita memperjuangkan hak mereka.
KUALA LUMPUR:
Seperti kebanyakan mangsa dera, Karen (bukan nama sebenar) diperkosa bapanya sendiri. Walaupun pihak berkuasa sedang menyiasat kesnya, kesaksiannya adalah kunci untuk menjauhkan diri daripada bapanya.

Dia hanya berusia 4 tahun.

Pada masa lalu, mangsa seperti dia perlu ke mahkamah berulang-kali untuk memberi kesaksian mereka, kadang-kala pendera mereka ada di sana.

Kini, kanak-kanak yang didera secara fizikal atau seksual boleh memberi keterangan di Pusat Temuduga kanak-kanak (CIC), yang bermaksud mereka tidak perlu lagi pergi ke mahkamah.

Pegawai polis bersara, Ong Chin Lan, yang memainkan peranan penting dalam menubuhkan CIC, berkata kebanyakan kes sebelum ini gagal kerana mangsa terancam oleh suspek.

CIC, sebaliknya, menyediakan persekitaran yang selesa untuk kanak-kanak. Ditempatkan di sebuah banglo lama di belakang Tugu Negara, ia dihiasi dengan warna yang menyerlah, dengan kawasan permainan dan perabot yang selesa, menjadikannya kurang menakutkan daripada mahkamah.

“Apabila Karen datang, kami mempunyai seorang pegawai penjagaan mangsa (VCO) yang menerima dan bercakap dengannya untuk membuatkan dia lebih selesa.

Pusat Temuduga Kanak-Kanak.

“Kemudian, kami menemubualnya dan menggunakan anak patung anatomi, dia menceritakan bagaimana dia didera,” kata Ong, yang pernah menjadi ketua Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11).

Di CIC, mangsa hanya ditemuramah sekali sahaja. Rakaman dan transkrip diberikan kepada pihak dalam sistem keadilan jenayah.

Pusat yang diwujudkan pada 2002 itu adalah tugasan tanpa ganjaran oleh Ong. Ia merupakan pusat pertama di negara ini dan juga di Asia Tenggara.

“Bagi saya, sebagai pegawai polis, tugas utama kami melangkaui siasatan jenayah,” katanya.

“Kami berurusan dengan mangsa, dan jika mereka tidak merasa seperti mereka dijaga, mereka tidak dapat memberikan bukti yang baik.”

Dalam kes kesaksian Karen, dapat dilihat pendakwaan dibuat terhadap pelaku yang akhirnya menerima hukuman penjara 40 tahun dan 24 sebatan.

Tetapi CIC bukan satu-satunya legasi Ong, yang menghabiskan masa selama 40 tahun dalam pasukan keselamatan. Beliau juga berperanan dalam menubuhkan D11 yang mana beliau menulis cadangan itu. Sebelum itu, tugasnya dikendalikan oleh Bahagian Siasatan Khas.

Bilik temuduga di CIC.

Sebelum D11, anak kelahiran Melaka itu sudah memainkan peranan utama di bahagian lain.

Dia menyertai pasukan polis pada 1977, ketika beliau berusia 19 tahun.

Pada 1987, semasa berkhidmat di Cawangan Khas, Ong terlibat dalam Ops Talong yang menyaksikan penangkapan 86 pengganas komunis melalui Unit Penggempur Ke-16 yang beroperasi di Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Kemahiran perisikannya juga sangat penting untuk melumpuhkan kegiatan dadah di Melaka pada awal 1990-an, di mana polis merampas 19kg marijuana – rampasan dadah terbesar di negeri tersebut pada masa itu.

“Saya sebenarnya sedang mengandung,” katanya sambil ketawa.

“Saya masih ingat ketika mengetuk pintu rumah suspek. Kami dapat mendengar mereka cuba melarikan diri, jadi kami mengejar mereka. Kadang-kadang, dalam menjalankan tugas, anda lupa anda hamil.”

Ong, yang mempunyai Sarjana dalam bidang Psikologi dan Kriminologi dari Manchester Metropolitan University di UK, turut membantu membangunkan amaran awal kehilangan kanak-kanak atau National Urgent Response Alert (NUR Alert) untuk membantu mencari kanak-kanak yang hilang.

Melalui sistem NUR Alert, amaran kanak-kanak yang hilang disiarkan melalui agensi kerajaan dan entiti swasta termasuk RHB Bank, Lebuhraya PLUS, Malaysia Airports Holdings Bhd dan, terbaru, Grab.

Ong juga membantu menubuhkan Pusat Penjagaan Mangsa bagi mangsa dewasa yang menjadi mangsa keganasan rumahtangga di mana pegawai psikologi awam akan memberi sokongan kepada mereka.

“Kini, kami mempunyai sekurang-kurangnya 1 atau 2 orang pegawai di setiap negeri untuk memberi sokongan psikologi dan bantuan kepada mangsa,” katanya.

Salah satu projek terakhir beliau sebelum bersara tahun lepas ialah Unit Penyiasatan Jenayah Internet Malaysia (Micac).

“Pada 2014, apabila kes Richard Huckle muncul, ia mendorong saya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai jenayah siber.

“Saya berhubung dengan rakan-rakan negara asing untuk melatih dan memberi kuasa kepada pegawai polis, timbalan pendakwa raya dan hakim berhubung jenayah siber.”

Rakan-rakan seangkatan ini termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan, Penyiasatan Keselamatan Tanah Air, Polis Persekutuan Australia, Pusat Kanak-kanak Hilang dan Eksploitasi Antarabangsa dan Polis Diraja Kanada.

Hari ini, ibu 4 itu tidak lagi memakai seragam biru tetapi semangatnya untuk keadilan dan keinginan untuk melindungi mereka yang paling lemah dalam masyarakat tetap tidak berubah.

“Saya harap kita terus memperbaiki undang-undang untuk menjelaskan bagaimana penderaan emosi dan psikologi ditakrifkan kerana kini, ia tidak mudah untuk dibuktikan.

“Jika ia dapat ditakrifkan lebih baik, maka ia boleh bertindak sebagai panduan untuk penyiasatan oleh pegawai, timbalan pendakwaraya dan hakim.”

Beliau mencadangkan agar kaunselor dengan latihan psikologi diberikan kuasa untuk mengesahkan sama ada seseorang itu adalah mangsa penderaan psikologi.

Ong, yang turut membuat ceramah di universiti dan acara, juga menyokong langkah yang dicadangkan oleh beberapa NGO agar penelitian dibuat terhadap kesalahan yang dilakukan.

Beliau yang dianggap sebagai “ibu D11” oleh orang ramai, berharap wanita juga akan lebih bersedia untuk bercakap mengenai hak mereka.

“Wanita di Malaysia mesti melangkaui sekatan budaya. Kadang-kadang mereka sangat bimbang tentang apa yang akan diperkatakan orang tentang mereka atau keluarganya, dan berdiam diri dengan mengorbankan hak mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.