Aktivis sebak lihat kanak-kanak tanpa kerakyatan bergraduasi

Kanak-kanak tanpa kerakyatan di hadapan sekolah alternatif mereka di Semporna, Sabah.

PETALING JAYA: Seorang guru besar di sebuah sekolah alternatif di Sabah sebak apabila menyaksikan anak didiknya menyarung baju graduasi mereka hari ini.

Mukmin Nantang, 25 ketika dihubungi FMT berkata, beliau tidak menyangka anak didiknya yang terdiri daripada kanak-kanak tanpa kerakyatan di negeri itu boleh menamatkan pengajian mereka dalam masa satu tahun.

“Sebaik sahaja mereka menyarung jubah graduasi itu, hati ini menjadi runtun, sayu dan sebak.

“Tidak dapat saya bayangkan. Hari untuk melihat mereka berjaya melepasi asas pendidikan sudah tiba.

“Wajah mereka ceria sekali. Ada antara mereka yang perempuan minta disolek. Ada yang lelaki minta berswafoto,” kata Mukmin.

Jelasnya lagi, beliau sungguh tersentuh apabila salah seorang muridnya memberitahu bahawa beliau seolah-olah sudah berada di sebuah universiti.

“Sekolah ini sekolah yang miskin. Hanya rumah atas laut. Tetapi anak-anak tanpa dokumentasi ini merasakan mereka seolah-olah sudah tamat pengajian di universiti.

“Sedangkan hakikatnya mereka tidak akan sampai ke universiti. Nasib mereka tidak akan terbela. Univeristi juga tidak akan mereka kenal wajah dan rupanya,” katanya.

Para guru dan aktivis sekolah alternatif Semporna pada hari graduasi 11 pelajar yang berjaya menamatkan pendidikan asas.

Beliau yang mengetuai Sekolah Alternatif Semporna memberitahu, seramai 11 pelajar yang bergraduasi selepas berjaya mencapai standard berdasarkan silibus pembelajaran di sekolah itu.

“Murid-murid ini telah menduduki silibus dan mencapai standard yang telah kami (sekolah alternatif) tetapkan.

“Mereka sudah boleh membaca, menulis, dan mengira. Mereka ini juga sangat mahir dalam kesenian kerana boleh menjahit dan membuat kraf sendiri,” katanya kepada FMT.

Jelasnya lagi, kanak-kanak tanpa kerakyatan yang dilahirkan oleh sekolah itu turut mempunyai kemahiran lain, seperti mencetak baju sendiri dan membuat cenderahati untuk dijual.

Mukmin memberitau FMT, anak didiknya mengalami banyak perubahan sejak belajar di sekolah itu.

“Bagaimana saya mahu katakan, mereka ini dahulunya datang ke sini dalam keadaan ‘tidak terurus’.

“Sekarang mereka lain. Sudah pandai berdikari, pandai berkomunikasi dan bijak. Mereka juga sangat bagus dalam etika kerana menghormati orang tua dan rakan sebaya,” katanya.

Guru besar Sekolah Alternatif Semporna, Mukmin Nantang (kanan) dan salah seorang guru, Jefry Musa (kiri) gembira melihat anak-anak didik mereka sudah mempunyai asas kepada pendidikan.

Jelas Mukmin, kanak-kanak tanpa kerakyatan itu hadir ke sekolah dalam keadaan tidak terurus, tiada disiplin yang menjadi rutin harian dan tidak menguasai kemahiran berkomunikasi.

Mukmin berkata, walapun sebak melihat anak muridnya yang bergraduasi akan meninggalkan sekolah itu, namun ia juga
membuka peluang kepada kanak-kanak lain mendapatkan pendidikan.

Bagaimanapun katanya, beliau berasa cukup bersalah apabila kanak-kanak itu meminta untuk terus berada dalam kelas dan melanjutkan pelajaran seperti biasa.

“Mereka merayu. Mereka sebut kepada saya, ‘cikgu, saya mahu terus belajar’.

“Tetapi saya dan dan tenaga pengajar lain harus menolak harapan anak-anak kecil ini bagi memberi peluang kepada rakan-rakan senasib mereka,” katanya.

Kata Mukmin, selepas satu tahun menyantuni kanak-kanak itu dalam sesi pembelajaran, beliau dan rakan-rakan yakin bahawa kesemua pelajarnya itu boleh berbakti kepada komuniti mereka sendiri.

“Cukuplah sekadar dapat membina personaliti diri dan mengajar rakan-rakan mereka yang lain,” jelasnya.

November lalu, FMT menyiarkan laporan bertajuk “Kisah ‘cinta’ pemuda pada kanak-kanak tanpa kerakyatan” mengenai kisah Mukmin mengajar kanak-kanak tanpa kerakyatan meskipun mendapat pelbagai tawaran pekerjaan yamg lebih lumayan.

Beliau yang merupakan graduan ijazah Seni Kreatif dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berkata, pendidikan akan berperanan membela nasib kanak-kanak tersebut.

“Pendidikan adalah hak setiap manusia. Saya tidak boleh terima adanya anak-anak yang dinafikan hak untuk ke sekolah,” katanya.