Sabah tangguh laksana AKPS, mahu jamin autonomi

Sabah tangguh laksana AKPS, mahu jamin autonomi

Ketua Menteri Hajiji Noor mahu perolehi persetujuan bahawa tidak ada sebarang penghakisan kepada hak istimewa serta kuasa autonomi imigresennya.

Hajiji Noor
Ketua Menteri Hajiji Noor kata kuasa autonomi imigresen Sabah tidak boleh dirunding.
PETALING JAYA:
Kerajaan Sabah menangguh dasar dan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sehingga memperolehi persetujuan bahawa tidak ada sebarang penghakisan kepada hak istimewa serta kuasa autonomi imigresennya.

Ketua Menteri Hajiji Noor memaklumkan bahawa Jemaah Menteri Sabah mendapati terdapat elemen penghakisan kuasa-kuasa serta hak keistimewaan imigresen Sabah melalui sifat perundangan dan pengoperasian imigresen, selepas meneliti pelaksanaan AKPS di negeri itu.

Menurutnya, pelaksanaan AKPS ini akan mengambil alih peranan imigresen Sabah di pintu-pintu masuk, di mana pihak berkuasa negeri tidak mempunyai kuasa langsung ke atas AKPS, tetapi hanya melalui pengarah imigresen Sabah.

Selain itu, kerajaan Sabah turut mengesan percanggahan antara Akta AKPS dan Akta Imigresen yang menurutnya boleh menjejaskan kelancaran dan kesempurnaan tugas penguatkuasaan di pintu-pintu masuk.

“Perlu ditegaskan bahawa kuasa autonomi imigresen kepada Sabah dan Sarawak merupakan kuasa yang tidak boleh dirunding kerana implementasi penubuhan Malaysia di bawah Perjanjian Malaysia 1963 adalah tertakluk kepada penggubalan kuasa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak,” menurut kenyataan.

Hajiji menegaskan kerajaan Sabah mahu menjamin perlindungan mengenai kedudukan Sabah dari segi perlembagaan sentiasa terpelihara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.