
Dalam politik Sabah, orang bukan saja melihat siapa pegang jawatan tetapi paling penting sama ada beliau boleh bekerja dan bawa suara rakyat negeri itu dengan matang.
Sebab itu pelantikan baharu dalam kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menarik diperhatikan kerana ia memberi gambaran parti pimpinan Hajiji Noor sedang cuba menyusun barisan lebih segar untuk dibawa ke depan.
Tetapi pada masa sama menampilkan orang lama seperti Menteri Kewangan Sabah Masidi Manjun yang diangkat sebagai salah seorang daripada lima timbalan pengerusi, sebagai usaha mengekalkan keseimbangan pengalaman dan tenaga muda.
Pelantikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali yang menggantikan Masidi sebagai setiausaha agung GRS boleh dianggap langkah kena pada masanya. Pada usia 50 tahun, Armizan masih dilihat sebagai wajah segar, tetapi bukan pula mentah dalam politik dan pentadbiran.
Beliau ada pengalaman di peringkat Persekutuan sebagai menteri. Sabah perlukan pemimpin yang bukan saja pandai bercakap di negeri sendiri, tetapi juga tahu membawa rundingan di Putrajaya, tahu bahasa pentadbiran pusat serta menuntut hak Sabah secara tersusun.
Ahli Parlimen Papar itu juga pernah terlibat banyak urusan penting berkaitan Sabah. Contohnya ketika menjadi setiausaha sulit kanan Hajiji pada 2020, beliau antara watak utama membawa kepada kerajaan negeri kepada pegangan ekuiti beberapa projek utama Petronas.
Begitu juga dengan Loh Su Fui yang menjadi bendahari agung GRS. Pada usia 45 tahun, Ahli Parlimen Tawau dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) ini mewakili wajah yang lebih muda, lebih bandar selain lebih dekat dengan dunia ekonomi serta perniagaan.
Latar belakang Loh sebagai bekas presiden dewan perniagaan Cina Tawau juga penting. Sabah bukan hanya perlukan politik yang pandai berpidato. Sabah perlukan pemimpin yang faham ekonomi, peniaga, pelaburan dan bagaimana hendak membuka peluang kerja kepada rakyat.
Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah Razali Razi yang menggantikan Armizan sebagai timbalan setiausaha agung GRS pula membawa warna lain. Pada usia 57 tahun, beliau mungkin bukan terlalu muda.
Namun pendekatan anak muda dibawa Razali atau lebih mesra dengan panggilan ‘Bob’ dalam perkhidmatan politik memberi gambaran GRS sedar keperluan untuk seseorang mendekati kelompok terbabit.
GRS juga sudah mula mengangkat pemimpin muda ke peringkat pentadbiran. Ceasar Mandela Malakun yang berusia 36 tahun contohnya diangkat Adun dilantik dan pembantu menteri di Jabatan Ketua Menteri.
Ini satu lagi tanda bahawa ruang untuk generasi baharu dalam GRS memang sedang dibuka.
Langkah GRS membuka ruang kepada Armizan, Loh, Razali dan pemimpin muda seperti Malakun menunjukkan gabungan itu faham satu perkara: politik Sabah mesti bergerak ke depan.
Kalau mereka diberi ruang bekerja, GRS bukan sahaja boleh tampil sebagai gabungan kekal relevan tetapi mampu membawa Sabah masuk ke fasa politik lebih segar dan matang yang akhirnya memanfaatkan rakyat.
Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.