Turki: Tapak kuil tertua di dunia dibuka kepada pengunjung

Turki: Tapak kuil tertua di dunia dibuka kepada pengunjung

Gobeklitepe berada dalam senarai tentatif Warisan Dunia Unesco sejak 2011 dan dimasukkan ke dalam senarai Warisan Dunia badan itu pada 2018.

Tapak kuil Gobeklitepe ditemui pada 1963 apabila penyelidik dari universiti Istanbul dan Chicago bekerja di situ. (Gambar AFP)
SANLIURFA:
Presiden Turki, Tayyip Erdogan merasmikan pembukaan tapak yang dipercayai menempatkan kuil tertua di dunia Jumaat, lapor agensi berita Anadolu negara itu.

“Turki adalah sebuah muzium terbuka,” kata Erdogan semasa berucap pada majlis pembukaan tapak arkeologi Gobeklitepe di daerah Sanliurfa yang terletak di tenggara Turki.

Erdogan berkata, kajian arkeologi harus dikembangkan untuk mencari lebih banyak artifak bersejarah di wilayah Anatolia.

Dengan 2019 diisytiharkan sebagai “Tahun Gobeklitepe” sebagai penghormatan terhadap kuil berusia 12,000 tahun itu, wilayah tersebut dijangka dikunjungi pelawat dari seluruh dunia.

Gobeklitepe berada dalam senarai tentatif Warisan Dunia Unesco sejak 2011 dan dimasukkan ke dalam senarai Warisan Dunia badan itu pada 2018.

Erdogan berkata, tapak purba itu menyumbang kepada khazanah bersama kebudayaan manusia dan kini menjadi “rujukan penting” dari segi akar peradaban di Anatolia.

Tapak kuil itu ditemui pada 1963 apabila penyelidik dari universiti Istanbul dan Chicago bekerja di situ. Sejak itu kegiatan mencari gali tidak pernah dihentikan.

Institut Arkeologi Jerman dan Muzium Sanliurfa melakukan kajian bersama di tapak berkenaan sejak 1995 dan menemui batu obelisk berbentuk-T dari era neolitik berukuran 3 hingga 6 meter tinggi dan seberat 40 ke 60 tan.

Dalam proses cari gali yang dijalankan, pelbagai artifak berusia 12,000 tahun, termasuk patung manusia berukuran 65 cm turut ditemui.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.