Pendapatan dari Singapura tak kena cukai, kata LHDN

KUALA LUMPUR: Pendapatan daripada punca penggajian di Singapura tidak tertakluk kepada cukai yang dikenakan di Malaysia, demikian menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabin Samitah berkata ini berikutan punca pendapatan di republik itu bukannya daripada punca penggajian di Malaysia.

“Bagi individu yang menetap di Malaysia melebihi tempoh 183 hari, beliau dianggap mempunyai status pemastautin bagi maksud percukaian di Malaysia bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP).

“Bagaimana pun, sekiranya individu tersebut tidak menerima apa-apa pendapatan yang berpunca dari Malaysia dan hanya menerima pendapatan penggajian dari Singapura, maka individu tersebut masih lagi tidak dikenakan cukai di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Sabin mengulas laporan sebuah akhbar bahasa Cina hari ini yang “mencetuskan kekeliruan berhubung pendapatan diterima daripada sumber di Singapura dan asas penentuan status pemastautin bagi tujuan dikenakan cukai pendapatan.”

Jelas beliau, status pemastautin seseorang individu tidak akan menyebabkan semua pendapatan yang diterima secara automatik tertakluk kepada undang-undang percukaian.

Selain itu, sebarang punca pendapatan dari luar negara yang dibawa masuk ke Malaysia juga dikecualikan cukai bawah Perenggan 28 Jadual 6 ACP tersebut, katanya.

Sebarang maklumat lanjut boleh diperolehi dengan mengunjungi pejabat LHDN berhampiran atau menghubungi talian Hasil Care Line LHDNM 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (luar negara).