Agong gesa tindakan tegas individu salah guna media sosial

Agong gesa tindakan tegas individu salah guna media sosial

Sultan Abdullah berkata penggunaan media sosial secara tidak bertanggungjawab boleh mengancam nilai murni berlandaskan agama dan prinsip moral masyarakat.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika merasmikan mesyuarat pertama penggal kedua Parlimen ke-14.
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata agensi penguatkuasa perlu bertindak tegas ke atas sebarang penyebaran media sosial yang melanggar undang-undang.

Sultan Abdullah berkata penggunaan media sosial secara tidak bertanggungjawab boleh mengancam nilai murni yang berlandaskan agama dan prinsip moral masyarakat.

“Sungguhpun kerajaan beta meraikan keterbukaan dan kebebasan bersuara, adalah penting kebebasan ini dipraktikkan dalam lingkungan undang-undang dan norma kehidupan bermasyarakat,” katanya ketika berucap dalam merasmikan mesyuarat pertama penggal kedua Parlimen ke-14.

Sultan Abdullah juga berkata kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan perlu difahami sedalam-dalamnya oleh warganegara tanpa mengira bangsa dan agama.

Katanya, Islam bukan sekadar agama yang eksklusif untuk kumpulan tertentu, malah ia merupakan cara hidup yang universal dan membawa rahmat untuk sekalian alam.

“Beta amat menyokong usaha kerajaan untuk mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan Rahmatan lil ‘Alamin dan Maqasid Syariah berdasarkan ajaran Islam yang sebenar yang diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat dan seterusnya menjadi model Malaysia iaitu model negara Islam berbilang kaum yang boleh dicontohi dunia luar.

“Dalam memperkukuh ajaran Islam di negara ini, agama lain perlu dihormati demi keharmonian dan kesejahteraan hidup kita semua,” katanya.

Sultan Abdullah juga berharap kerajaan akan mengukuhkan lagi penyampaian perkhidmatan kesihatan sedia ada dengan mempertingkatkan fasiliti kesihatan serta memperkenalkan skim saringan dan perlindungan kepada golongan B40.

Sultan Abdullah juga mahu pelbagai inisiatif dilaksanakan di seluruh negara untuk membantu rakyat termasuk menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara.

“Pelbagai inisiatif turut dilaksanakan, antaranya penyelarasan gaji minimum, pemberian bantuan sara hidup, subsidi bersasar, program Food Bank serta peningkatan kualiti sistem penyampaian kerajaan.

“Kerajaan beta akan terus melaksanakan langkah bagi meringankan beban mereka yang terlibat termasuk mempergiatkan lagi penyelidikan industri agrikomoditi, penggunaan bio bahan api, penerokaan pasaran baru dan bekerjasama dengan negara pengeluar lain bagi menstabilkan harga komoditi di pasaran antarabangsa,” katanya.

Sultan Abdullah berkata kerajaan Pakatan Harapan sedar peningkatan kos sara hidup adalah antara cabaran dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan juga akan memperkukuhkan kerjasama strategik dengan sektor swasta dan badan bukan kerajaan dalam isu kepenggunaan serta meningkatkan penguatkuasaan ke atas pihak yang mengeksploitasi harga dan mengambil keuntungan berlebihan.

Sultan Abdullah turut menjelaskan ekonomi negara kini berkembang sebanyak 4.7% dengan dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta manakala hutang RM1.9 trilion juga kekal terurus.

“Dalam hal ini, beta menyambut baik Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 dan Belanjawan 2019 yang mengambil kira aspirasi rakyat dan cabaran semasa supaya manfaat pertumbuhan ekonomi dirasai oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari hingga 11 April depan, manakala Dewan Negara dari 22 April hingga 9 Mei depan selama 13 hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.