Penganalisis tidak jangka Putrajaya beri autonomi penuh kepada Sabah, Sarawak

Penganalisis tidak jangka Putrajaya beri autonomi penuh kepada Sabah, Sarawak

Kerajaan pusat yang kuat penting untuk integrasi nasional.

Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan kerap disebut sebagai punca masalah yang dihadapi oleh Sabah dan Sarawak. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkemungkinan besar tidak akan memberikan autonomi penuh kepada Sabah dan Sarawak, kata seorang penganalisis, dengan merujuk kepada dasarnya sebelum ini yang mengutamakan kerajaan pusat yang kuat.

Arnold Puyok dari Universiti Malaysia Sarawak berkata, perdana menteri percaya kerajaan pusat yang kuat penting untuk integrasi nasional.

“Beliau percaya pada identiti pusat yang kuat.

“Dalam persoalan pembinaan negara, Dr Mahathir percaya bahawa pemusatan adalah penting bagi menyatukan wilayah dan kerajaan pula kuat,” katanya kepada FMT.

“Justeru, sebanyak manakah autonomi yang sedia beliau berikan kepada Sabah dan Sarawak?”

Bagaimanapun katanya, keputusan Kabinet untuk “memulihkan” status setaraf kepada Sabah dan Sarawak menunjukkan kesediaan Dr Mahathir untuk membenarkan isu itu dibincangkan.

Puyok berkata, status perkongsian setaraf tidak pernah ditakrifkan dengan jelas, baik dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) maupun dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimana anda mahu takrifkan perkongsian setaraf? Apakah ia bermakna mempunyai 3 wilayah bertaraf negara dalam satu persekutuan longgar? Atau apakah kita akhirnya akan menjadi sebuah konfederasi?

“Ia tidak pernah diketengahkan seperti ini sebelum ini,” kata beliau.

Beliau berkata, Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan kerap disebut sebagai punca masalah yang dihadapi oleh Sabah dan Sarawak.

“Persoalannya, apabila pindaan itu dibuat, apakah kita kehilangan kedudukan istimewa kita dalam Perlembagaan Persekutuan?”

Malah katanya, tidak ada keperluan untuk menyemak semula MA63, tetapi kerajaan boleh memperbaiki pelaksanaan apa-apa juga yang berhak diperolehi oleh negeri terbabit.

“MA63 sudah ada. Ia hanyalah isu pelaksanaannya dengan lebih berkesan.

“Ini termasuklah mengatasi masalah pertindihan bidang kuasa antara kerajaan negeri dan agensi pusat di Sabah dan Sarawak, selain isu penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan kepada negeri.”

Katanya, Sarawak tampak lebih spesifik dalam tuntutannya dan lebih ke depan berbanding Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.